PETALING JAYA: Gelombang haba luar biasa dengan suhu mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celcius dicatatkan di enam lokasi di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tiga daerah di catatkan di Semenanjung membabitkan Bandar Baharu di Kedah, Selama (Perak) dan Temerloh (Pahang).
Manakala, wilayah Malaysia Timur, Limbang di Sarawak serta Tenom dan Pitas di Sabah turut merekodkan suhu luar biasa antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
“Fenomena tersebut berlaku akibat fasa Monsun Barat Daya yang dijangka melanda negara hingga pertengahan Oktober ini,” katanya ketika mengikuti Operasi Pembenihan Awan (OPA) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sebanyak 3,300 telaga tiub tersedia di kawasan berisiko sebagai langkah awal bagi mengelakkan daripada berlakunya kebakaran hutan akibat cuaca panas melampau.
Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam masa yang sama turut diarahkan untuk melakukan kerja pembersihan dan bersiap sedia melaksanakan operasi jika keadaan memerlukan.
“Pelbagai agensi berkaitan akan mengeluarkan nasihat dan panduan kepada orang ramai supaya mengehadkan aktiviti luar rumah.
“Kita akan beri fokus kepada golongan berisiko tinggi termasuk pelajar sekolah. Penyelarasan turut dilakukan bersama Jawatankuasa Bencana Daerah bagi menjadualkan semula sebarang aktiviti luar membabitkan jabatan dan agensi kerajaan,” katanya.
































