LONDON: Seorang lelaki warga emas berusia 76 tahun dihadapkan ke mahkamah Britain semalam selepas didakwa mencampurkan ubat pelali ke dalam gula-gula sehingga menyebabkan beberapa kanak-kanak jatuh sakit ketika menghadiri kem musim panas hujung minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, John Ruben dari Leicestershire, Britain, didakwa atas tiga pertuduhan sengaja melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.
Tindakan itu dijelaskan dalam kenyataan yang dikeluarkan Polis Leicestershire dan Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS) yang bertanggungjawab mengesahkan pertuduhan jenayah di England dan Wales.
Ruben dibawa ke Mahkamah Majistret Leicester semalam, dan dimaklumkan pertuduhan yang dihadapinya berkaitan dengan pemberian gula-gula yang dipercayai dicampur bahan pelali kepada kanak-kanak terbabit.
Kejadian dilaporkan kepada pihak polis pada Ahad lalu selepas beberapa kanak-kanak di kem musim panas yang berlangsung di kampung Stathern dilaporkan mengalami simptom keracunan dan keletihan luar biasa.
Pihak polis kemudian hadir ke lokasi pada keesokan harinya dan menghantar lapan kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 11 tahun serta seorang dewasa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.
Kesemua mereka telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, Pejabat Bebas Kelakuan Polis (IOPC) kini sedang menyiasat sama ada terdapat kelalaian atau salah laku profesional dalam tindakan pihak polis Leicestershire.
Ia berhubung kelewatan respons terhadap insiden yang kemudian diklasifikasikan sebagai kejadian kritikal.
Kes masih dalam siasatan lanjut dan tertuduh dijangka dibicarakan semula dalam masa terdekat.
































