BANGKOK: Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh Ribut Tropika Wipha sejak bulan lalu meragut enam nyawa dan menjejaskan lebih 230,000 penduduk di seluruh Thailand, menurut pegawai pengurusan bencana pada Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand berkata, sejak 21 Julai, hujan lebat membanjiri 12 wilayah, kebanyakannya di bahagian utara dan tengah negara itu.
“Kami sedang memantau dengan rapi kesan ribut Wipha dan bekerjasama dengan wilayah-wilayah yang terjejas untuk membantu mereka yang memerlukan,” kata agensi itu dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.
Gambar-gambar yang dimuat naik di media sosial menunjukkan air banjir yang keruh, guni pasir yang disusun di hadapan rumah, dan penduduk menggunakan bot plastik untuk meredah jalan-jalan yang tenggelam.
Bagaimanapun, jabatan meteorologi negara itu meramalkan hujan akan berkurangan dalam beberapa hari akan datang.
Meskipun Thailand mengalami musim hujan tahunan antara Mei dan Oktober, para saintis berkata, perubahan iklim akibat aktiviti manusia sedang menyebabkan pola cuaca yang lebih ekstrem yang boleh meningkatkan risiko banjir besar.
Banjir besar yang melanda Thailand pada tahun 2011 meragut lebih 500 nyawa dan merosakkan berjuta-juta kediaman di seluruh negara.
































