WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran keselamatan kepada pengguna selepas beberapa tin minuman tenaga Celsius Astro Vibe Sparkling Blue Razz Edition didapati mengandungi vodka secara tidak sengaja, akibat kesilapan oleh pembekal pembungkusan.
Menurut Utusan Malaysia, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (USFDA) dalam kenyataan rasmi memaklumkan, insiden berlaku apabila pembekal tersilap menghantar tin kosong Celsius kepada syarikat minuman beralkohol High Noon, yang kemudian mengisinya dengan vodka seltzer tanpa menyedari kesilapan tersebut.
Tin yang terjejas kelihatan seperti minuman tenaga biasa , lengkap dengan jenama dan reka bentuk asal namun sebenarnya mengandungi alkohol.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana boleh menyebabkan pengambilan alkohol tanpa disedari, terutamanya oleh pengguna bawah umur atau mereka yang mengelakkan alkohol atas sebab kesihatan atau kepercayaan agama.
Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kesan kesihatan serius diterima. Namun, pihak berkuasa menasihatkan agar pengguna tidak meminum kandungan tin terbabit dan segera membuangnya.
Produk yang terlibat termasuk, Celsius Astro Vibe Sparkling Blue Razz Edition dengan Kod lot: L CCB 02JL25, mempunyai ciri fizikal iaitu penutup berwarna perak, berbeza daripada biasa yang berwarna hitam.
Satu lagi jenama ialah High Noon Beach Variety Pack dengan kod lot: L CCC 17JL25 dan L CCC 18JL25
Produk terjejas telah diedarkan kepada peruncit di Florida, New York, Ohio, South Carolina, Virginia dan Wisconsin antara 21 hingga 23 Julai.
Pengguna yang memiliki tin-tin terlibat dinasihatkan untuk tidak meminumnya, membuang produk dengan segera, menghubungi High Noon Consumer Relations untuk mendapatkan maklumat lanjut dan proses bayaran balik
Tin dengan kod lot selain daripada yang disenaraikan adalah selamat untuk diminum dan tidak terjejas oleh isu ini.
Amaran ini dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang insiden yang mungkin menjejaskan kesihatan awam, terutama dalam kalangan pengguna yang tidak menyedari kandungan sebenar produk yang mereka beli.


































