Roland Schmidt
CHICAGO: Seorang lelaki berusia 76 tahun telah didakwa melakukan pembunuhan kejam terhadap menantunya dalam satu majlis perkahwinan, selepas wanita itu mendedahkan rancangan untuk menceraikan anak lelakinya.
Menurut Utusan Malaysia, Roland Schmidt, 76, dituduh membunuh Christine Moyer, 45, dalam satu kejadian tembakan di tempat letak kereta Hotel Marriott di Schaumburg, Chicago.
Menurut pihak berkuasa, Schmidt dan Moyer menghadiri majlis perkahwinan di hotel tersebut pada malam Jumat lepas apabila Schmidt didakwa mengekori Moyer keluar dari majlis dan menembaknya di kepala.
Pendakwa raya memaklumkan kepada ABC 7 Chicago, Schmidt menembak mangsa ketika wanita itu berbual bersama ahli keluarga lain. Beberapa saksi dalam kalangan keluarga dilaporkan turut menyaksikan insiden ngeri itu.
Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada kemarahan Schmidt selepas mengetahui Moyer memfailkan tuntutan cerai terhadap anak lelakinya.
Schmidt sudah dimaklumkan beberapa minggu sebelum kejadian oleh anaknya sendiri bahawa Moyer berhasrat untuk berpisah.
Pendakwa turut mendakwa Schmidt mengaku merancang penembakan tersebut terlebih dahulu.
Moyer segera dikejarkan ke hospital berdekatan selepas kejadian namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Pihak pendakwa turut memaklumkan selepas kejadian, Schmidt didapati memiliki kad FOID yang telah tamat tempoh. Kad FOID adalah syarat sah pemilikan senjata api dan peluru di negeri Illinois.
































