Julita Majungki
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menjelaskan bahawa parti itu belum mengesahkan atau menyokong mana-mana individu sebagai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang setakat ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Julita Majungki berkata, sebarang kenyataan yang mendakwa PBS telah menamakan atau menyokong seseorang individu bukan datang daripada parti dan tidak mencerminkan pendirian rasmi PBS.
“Proses mengenal pasti dan memuktamadkan calon-calon berpotensi masih berjalan dan akan diputuskan secara kolektif oleh kepimpinan PBS.
“Segala pengumuman rasmi berkaitan pencalonan hanya akan dibuat melalui saluran yang betul dan mesti dipetik secara langsung daripada Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
“Sebarang kenyataan yang dikeluarkan tanpa kuasa ini adalah tidak benar dan mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PBS turut menyeru semua bahagian dan cawangan untuk meneruskan persiapan menghadapi PRN serta memberi tumpuan kepada memperkukuh jentera parti di peringkat akar umbi.
Beliau menggesa pihak media dan orang ramai untuk menyemak kesahihan maklumat dengan sumber rasmi parti bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat.
Julita berkata, PBS juga sependapat dengan kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor bahawa GRS akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN akan datang.
“Ini adalah berdasarkan persefahaman bahawa GRS akan kekal sebagai rakan kongsi dominan seperti yang telah dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat antara Pengerusi GRS dan para presiden parti komponen, termasuk Pemangku Presiden PBS.
“Saya juga ingin menjelaskan bahawa Pemangku Presiden PBS tidak dapat menghadiri pembukaan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) baru-baru ini kerana beliau berada di Beaufort bagi merasmikan pembukaan serentak Mesyuarat Agung Tahunan lima bahagian PBS.
“Perlu ditegaskan bahawa PBS diwakili oleh pemimpin kanan termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Jahid Jahim, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai dan saya sendiri,” katanya.




























