Anwar Ibrahim bersama Prabowo Subianto di Istana Merdeka sempena lawatan kerja dua hari di Jakarta semalam. – IZZUDDIN ABD RAZAK/Pejabat Perdana Menteri
JAKARTA: Malaysia dan Indonesia mencapai persetujuan menyelesaikan beberapa perkara tertangguh termasuk isu sempadan dalam rundingan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sempena lawatan ke republik itu semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, antara pencapaian utama ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) berkaitan isu sempadan membabitkan antaranya Pulau Sebatik yang telah diperhalusi secara teknikal dan perundangan oleh kedua-dua negara.
“Lokasi-lokasi ini dikenal pasti di pesisir pantai barat Pulau Sebatik ke tanah sempadan.Ini diperhalusi dan dicerakin. Rundingan ini penting demi memastikan kestabilan dan kefahaman bersama,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Selain itu, kata Anwar, kerjasama turut diperkukuh dalam bidang kesihatan, komunikasi serta tadbir urus digital dan internet.
“Perbincangan turut menyentuh kaedah untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan serta memperbaiki aliran trafik di sempadan terutamanya di Sarawak, Kalimantan dan Sabah.
“Beberapa kawasan yang sebelum ini terbantut akibat kekurangan persetujuan dari segi kemudahan kastam dan semakan jabatan akan disegerakan pelaksanaannya,” katanya.
Anwar berkata, turut dibincang adalah melibatkan sasaran perdagangan AS$30 bilion antara kedua-dua negara hingga ke soal pelaburan di ibu kota Nusantara, akses lalu lintas sempadan yang lebih lancar di Entikong serta keperluan dalam memuktamadkan perjanjian persempadanan darat dan maritim yang tertangguh sejak sekian lama.
Tambah beliau, potensi kerjasama dalam tenaga boleh baharu turut dibincangkan, termasuk peranan Sarawak sebagai pembekal tenaga hijau untuk Semenanjung Malaysia melalui laluan Sabah.
Isu-isu lain yang turut disentuh dalam pertemuan itu termasuk semakan semula MoU pekerja Indonesia, pembangunan pusat pembelajaran untuk anak-anak pekerja Indonesia di ladang-ladang di Malaysia, serta kerjasama dalam bidang ICT, pendidikan, keselamatan dan pengurusan bencana.
Dalam perkembangan lain, kedua-dua pemimpin turut menyatakan pendirian tegas menyokong perjuangan rakyat Palestin, khususnya di Gaza dan membincangkan langkah-langkah damai untuk menyelesaikan ketegangan semasa antara Kemboja dan Thailand.
Rundingan itu turut membuka jalan bagi persiapan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.
Mengenai kes Rizal Khalid, taikun minyak Indonesia, Anwar berkata, kerajaan tidak akan masuk campur sebaliknya menyerahkan kepada proses undang-undang.
“Mana-mana kes yang dibawa kita beri pertimbangan. Masih belum ada keterangan jelas tentang permasalahan, tetapi prinsipnya kita bekerjasama penuh dengan Indonesia sebagai negara sahabat,” katanya.
Tentang isu Laut Sulawesi, Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak pernah mengambil sikap agresif sebaliknya menyelesaikannya mengikut saluran undang-undang dan rundingan.


































