BANGKOK: Pemimpin Thailand dan Kemboja akan menghadiri rundingan mediasi di Malaysia hari ini bagi menyelesaikan konflik maut di sempadan kedua-dua negara, menurut kerajaan Thailand.
Menurut Utusan Malaysia, rundingan ini tetap diteruskan meskipun kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain melancarkan serangan meriam baharu di kawasan pertikaian.
Menurut kenyataan rasmi kerajaan Thailand yang dikeluarkan pada malam Ahad, rundingan dijadualkan bermula pada pukul 3 petang dengan Pemangku Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai mengetuai pasukan perunding dari Bangkok.
Bangkok turut mengesahkan Phumtham dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet akan bertemu di Kuala Lumpur dalam rundingan yang akan dimediasi oleh Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim yang kini mempengerusikan blok ASEAN.
Pertempuran meriam masih berlaku berhampiran dua kuil purba yang sudah lama menjadi titik pertikaian di kawasan sempadan antara utara Kemboja dan timur laut Thailand, yang menjadi lokasi utama pertempuran.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh dan lebih 200,000 orang dipindahkan akibat pertempuran tersebut, ketika kedua-dua negara yang terkenal sebagai destinasi pelancongan itu bertelagah mengenai beberapa buah kuil sempadan yang dipertikaikan.
Rundingan pada Isnin diadakan susulan cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Anwar minggu lalu, serta kenyataan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu yang berkata kedua-dua pemimpin bersetuju untuk bekerjasama ke arah pelaksanaan gencatan senjata.


































