THE HAGUE: Seorang lelaki di Belanda tersilap langkah apabila membenarkan anak perempuannya yang baru berusia 11 tahun memandu keretanya.
Menurut Utusan Malaysia, tindakan itu membawa padah apabila kanak-kanak tersebut merempuh sebuah rumah selepas tersilap menekan pedal minyak dan bukannya brek, lapor media tempatan pada Sabtu.
Akhbar tempatan Tubantia melaporkan, kejadian malang itu berlaku di Hengelo, timur Belanda.
Rakaman video disiarkan Tubantiamenunjukkan kereta berkenaan merempuh pintu kaca dan dinding rumah tersebut yang dikatakan mengalami kerosakan besar akibat pelanggaran itu.
Namun tiada kecederaan dilaporkan melibatkan penghuni rumah mahupun penumpang dalam kereta berkenaan.
Difahamkan, ibu kepada kanak-kanak itu serta seorang bayi turut berada di tempat duduk belakang kereta dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bapa gadis itu mengesahkan kepada Tubantia, anak perempuannya berada di tempat pemandu semasa kemalangan berlaku.
Laporan menyebut kanak-kanak tersebut meminta kebenaran untuk memandu dalam jarak dekat dan bapanya bersetuju.
Namun, ketika melalui satu selekoh, bapanya menyuruhnya menekan brek.
Tetapi kabak-kanak itu secara tidak sengaja menekan pedal minyak dan terus merempuh rumah berkenaan.
































