Satu tulang leher milik seorang kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun ditemukan, lengkap dengan kesan hirisan yang jelas.
MADRID: Ahli arkeologi di utara Sepanyol menemukan bukti menunjukkan manusia purba dipercayai mengamalkan kanibalisme terhadap golongan kanak-kanak kira-kira 850,000 tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, penemuan itu dibuat di tapak gua Gran Dolina, Atapuerca, oleh pasukan dari Institut Paleoekologi Manusia dan Evolusi Sosial Catalan (IPHES), yang sudah menjalankan penggalian di kawasan tersebut sejak lebih tiga dekad lalu.
Satu tulang leher milik seorang kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun ditemukan, lengkap dengan kesan hirisan yang jelas, dipercayai akibat tindakan memenggal kepala untuk pemakanan.
“Kesan hirisan sangat tepat, menunjukkan kepala kanak-kanak itu dipisahkan dengan cara yang sama seperti proses memotong haiwan buruan,” kata Pengarah Bersama Penggalian Gran Dolina, Dr Palmira Saladié dalam kenyataannya.
Tulang tersebut, yang ditemui bersama serpihan tulang dan gigi lain, dipercayai berasal daripada spesies Homo antecessor iaitu nenek moyang terakhir yang dikongsi oleh Homo sapiens (manusia moden) dan Neanderthal.
Setakat ini, hampir satu per tiga daripada semua tulang yang ditemui di gua tersebut mempunyai kesan potongan, menunjukkan amalan kanibalisme merupakan kelaziman dalam komuniti tersebut.
Kata Dr Saladié, tulang yang ditemui dalam keadaan terpelihara dan turut menampilkan kesan gigitan manusia, sekali gus mengukuhkan dakwaan tulang tersebut dikunyah dan dimakan.
Pakar turut menjelaskan penemuan tersebut mungkin mencerminkan usaha kawalan kawasan oleh kelompok manusia purba berkenaan sama ada sebagai taktik mempertahankan wilayah, atau sebagai sebahagian daripada ritual pengebumian primitif.
Homo antecessor dipercayai hidup sekitar 1.2 juta hingga 800,000 tahun lalu, dengan fizikal yang lebih pendek dan berotot berbanding manusia moden manakala saiz otak mereka juga lebih kecil iaitu sekitar 1,000 hingga 1,150 sentimeter padu, berbanding manusia masa kini yang memiliki otak purata 1,350 sentimeter padu.
Penemuan terbaharu ini mengukuhkan teori amalan kanibalisme bukanlah luar biasa dalam kalangan manusia purba di mana sebelum ini, bukti kanibalisme tertua pernah ditemui di Kenya, berusia 1.45 juta tahun.




























