Antara kenderaan yang disita DBKL dalam Operasi Tindakan Khas Lalu Lintas Angkut Siri 11/2025 yang dijalankan di Jalan Sentral 3, Brickfields baru-baru ini.
PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 10 motosikal dan menunda empat kereta dalam Operasi Tindakan Khas Lalu Lintas Angkut Siri 11/2025 yang dijalankan di Jalan Sentral 3, Brickfields dekat sini, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, DBKL dalam kenyataan berkata, sebanyak 33 notis kompaun turut dikeluarkan sepanjang operasi tersebut.
Katanya, operasi memberi fokus kepada tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan, khususnya motosikal yang diletakkan atas siar kaki, laluan pejalan kaki dan bahu jalan yang mengganggu kelancaran pergerakan orang awam.
“Perbuatan ini bukan sahaja menyusahkan pengguna, malah menimbulkan risiko keselamatan kepada pejalan kaki termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang kerap menggunakan laluan tersebut,” katanya.
DBKL berkata, pihaknya akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, teratur dan mesra pengguna.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih beretika dan bertanggungjawab dalam meletakkan kenderaan bagi menjamin kelancaran lalu lintas serta keselamatan semua,” katanya.

































