KUALA LUMPUR: Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes sindiket penipuan nombor ramalan di beberapa negeri membabitkan kerugian hampir RM200,000 selepas tujuh individu ditahan.
Menurut Utusan Malaysia, kesemua tujuh individu ditahan menerusi enam serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 4 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sindiket berkenaan dikesan aktif memperdaya mangsa menerusi taktik memperkenalkan diri sebagai pemenang loteri.
Katanya, mereka kemudiannya menawarkan untuk berkongsi wang kemenangan sebelum memperdayakan mangsa menyerahkan barangan berharga dan kad ATM.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan serta dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia yang disyaki suspek utama sindiket ini, selain dua lagi warga tempatan iaitu pemilik dan jurujual kedai emas,” katanya dalam sidang akhbar di sini kelmarin.
Beliau berkata, dengan penahanan ini, polis percaya dapat menyelesaikan kes penipuan serupa yang dilaporkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM199,243.
Katanya, antara kes terbaharu membabitkan sindiket itu berlaku pada 27 Jun lalu, apabila seorang wanita pesara berusia 63 tahun di Setapak ditipu sehingga kerugian wang tunai dan barang kemas.
“Dalam kejadian itu, mangsa didatangi seorang wanita warga Indonesia yang meminta bantuan menunjukkan jalan ke kedai nombor ramalan, sebelum dipelawa menaiki sebuah kereta dipandu seorang lelaki senegara.
“Sepanjang berada dalam kenderaan itu yang turut dinaiki empat suspek lain, mangsa dijanjikan RM15,000 daripada ‘wang kemenangan’ dan akhirnya menyerahkan kad ATM serta barang kemas miliknya sebelum diturunkan di satu lokasi,” jelasnya.
Rusdi berkata, suspek kemudian mengeluarkan wang RM500 daripada akaun mangsa menggunakan kad ATM, dan tidak muncul semula seperti dijanjikan.
“Polis turut merampas enam telefon bimbit, sebuah kereta jenis Perodua Aruz, dua nombor plat palsu, lima beg pelbagai jenama, wang tunai RM1,330 serta beberapa utas rantai, cincin dan anting-anting,” jelasnya.
Tambah beliau, empat suspek utama didakwa di mahkamah pada 22 Julai lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala tiga warga Indonesia turut dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan penipuan dan dijatuhi hukuman penjara setahun, manakala seorang daripadanya turut dikenakan satu kali sebatan,” katanya.
































