QUEENSLAND: Manusia masih mendahului kecerdasan buatan (AI) apabila lima remaja berjaya menewaskan model AI canggih daripada Google dan Open AI dalam Olimpik Matematik Antarabangsa (IMO) yang berlangsung di Queensland, Australia, bulan ini.
Menurut Utusan Malaysia, dalam pertandingan berprestij itu, peserta bawah umur 20 tahun perlu menyelesaikan enam masalah matematik tahap tinggi.
Walaupun model AI generatif seperti Gemini milik Google dan model OpenAI mencapai markah setaraf pingat emas, tiada satu pun daripadanya mampu memperoleh markah penuh.
Google dalam kenyataan pada Isnin berkata, versi lanjutan chatbot Gemini berjaya menyelesaikan lima daripada enam soalan, mengumpul 35 daripada 42 mata keseluruhan.
“Kami boleh mengesahkan Google DeepMind mencapai pencapaian yang sangat dinanti-nantikan,” kata gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu, memetik Presiden IMO, Gregor Dolinar.
Menurut Google, penyelesaian dikemukakan teknologinya sangat mengagumkan dalam pelbagai aspek dan penilai IMO mendapati ia jelas, tepat serta kebanyakannya mudah difahami.
Kira-kira 10 peratus peserta manusia memenangi pingat emas, dan lima daripada mereka memperoleh markah penuh sebanyak 42 mata.
Syarikat pembangun ChatGPT dari AS, OpenAI, berkata model penaakulan eksperimennya memperoleh 35 mata, pencapaian yang melayakkan pingat emas dalam ujian tersebut.
“Keputusan itu mencapai cabaran besar yang lama dalam bidang AI di pertandingan matematik paling berprestij di dunia.
“Kami menilai model kami menggunakan soalan IMO 2025 di bawah peraturan yang sama seperti manusia,” tulis penyelidik OpenAI, Alexander Wei, di media sosial.
Google sebelum ini hanya memperoleh markah setaraf pingat perak pada IMO tahun lalu yang berlangsung di Bath, United Kingdom, apabila berjaya menyelesaikan empat daripada enam soalan.
Ketika itu, proses pengiraan mengambil masa dua hingga tiga hari, jauh lebih lama berbanding tahun ini, apabila Gemini berjaya menyelesaikan kesemua soalan dalam had masa 4.5 jam.
“Sangat mengujakan untuk melihat kemajuan dalam keupayaan matematik model AI,” kata Dolinar.
Namun, beliau memberi amaran pihak penganjur tidak dapat mengesahkan jumlah kuasa pengkomputeran yang digunakan oleh model AI tersebut atau terdapat penglibatan manusia dalam proses penyelesaiannya.
































