Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR: ASEAN bersama negara-negara lain perlu secara kolektif menangani cabaran mendesak dalam sektor hartanah dan perumahan bagi membina sebuah rantau yang lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, manfaat pembangunan perlu diagihkan secara adil agar golongan miskin bandar, belia, warga emas dan komuniti terpinggir tidak dipinggirkan.
Jelasnya, perumahan dan hartanah tidak seharusnya menjadi komoditi untuk segelintir golongan semata-mata, tetapi harus diangkat sebagai hak asasi manusia untuk semua kerana ASEAN adalah rumah kita bersama.
Sebagai Pengerusi ASEAN, beliau berkata, Malaysia menegaskan komitmen untuk merealisasikan visi itu dengan menerajui inovasi, memupuk integrasi dan memastikan impak yang bermakna di seluruh negara anggota.
“Kita berkumpul hari ini dengan satu tujuan bermakna untuk menilai secara kritikal cabaran yang dihadapi serta merangka hala tuju terbaik secara kolektif dalam membina sektor perumahan dan industri hartanah yang berdaya tahan, inklusif dan berpandangan jauh.
“Platform penting ini bukan sahaja berfungsi sebagai medan pertemuan pemikiran, malah menjadi pemangkin kepada perkongsian maklumat, kemahiran dan kepakaran dalam strategi pembangunan mampan seperti penyahkarbonan tenaga, perlindungan biodiversiti dan keterhubungan ekonomi.
“Melalui kerjasama sebegini, kita dapat memperkukuh keupayaan serantau dan mendorong perubahan bermakna di seluruh ASEAN. Itulah ukuran sebenar kemajuan bukan sekadar setinggi mana bangunan kita bina, tetapi sejauh mana manfaatnya kita agihkan,” katanya semasa merasmikan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (Archidex) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Edisi ke-24 pameran berprestij yang menampilkan lebih 850 pempamer dari dalam dan luar negara, juga bakal berlangsung serentak dengan penganjuran sulung Minggu Seni Bina KL sekali gus menjadikannya antara acara terbesar dalam kalendar seni bina negara.
Fadillah berkata, inovasi bukan sebagai satu bentuk kemewahan tetapi satu keperluan untuk daya tahan dan kemajuan seperti membangunkan bangunan hijau dan reka bentuk yang bersesuaian dengan iklim.
“Ini termasuk pelaksanaan sistem tanah digital dan penyelesaian perlindungan kerana inovasi mesti menjadi pemacu utama dasar perumahan dan strategi pembandaran kita.
“Inilah cara untuk menjadikan bandar kita lebih pintar, pembangunan lebih cekap dan komuniti lebih selesa didiami,” katanya.
































