SEOUL: Seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an maut selepas ditembak oleh bapanya sendiri dalam satu kejadian mengejutkan di sebuah pangsapuri di Songdo International City, barat Seoul, pada hujung minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Balai Polis Yeonsu di Incheon memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan lewat malam Ahad mengenai kejadian tembakan di sebuah kediaman bertingkat di kawasan moden tepi laut itu.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Susulan insiden itu, pasukan pemusnah bom dikerahkan ke lokasi kejadian dan memindahkan puluhan penduduk sebagai langkah berjaga-jaga.
Bapa mangsa yang juga suspek utama berusia 60-an kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurut laporan media tempatan, suspek melarikan diri dari lokasi kejadian bersama senjata api buatan sendiri yang didakwa digunakan dalam serangan itu.
Polis Seoul menahannya pada awal pagi ini di daerah Gangnam, Seoul, kira-kira 30 kilometer dari lokasi kejadian, selepas operasi memburu suspek selama tiga jam.
Semasa soal siasat, suspek memberitahu polis bahawa dia turut meletakkan peranti letupan di rumahnya di Dobong, utara Seoul.
Menurut Agensi Polis Metropolitan Seoul, seramai 105 penduduk dipindahkan ketika skuad bom menjalankan pemeriksaan di bangunan tersebut.
Mereka berjaya menemukan dan mengalih keluar bahan letupan buatan sendiri yang terdiri daripada pemecut dan pemasa dengan selamat.
Gambar dikongsi dalam talian menunjukkan unit taktikal polis dan ambulans berkumpul di luar kompleks apartmen di Songdo, sekali gus mencetuskan spekulasi awal mengenai insiden tembakan besar-besaran.
Namun, pihak berkuasa menjelaskan hanya seorang mangsa terlibat dan tiada kecederaan dilaporkan.
































