Rohannah Mohd. menunjukkan salinan laporan polis berkaitan kegiatan scammer yang menyebabkan kerugian RM34,000 ketika ditemui di Felda Jengka 2, Maran, Pahang.
MARAN: Seorang ibu tunggal yang juga penghidap kanser usus di Felda Jengka 2, dekat sini kerugian RM34,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai agensi kerajaan dan peguam.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa, Rohannah Mohd., 58, mendakwa, dia dipaksa menjual barang kemas pusaka peninggalan arwah ibu dan bapanya serta menggunakan simpanan pencen ilat semata-mata untuk membersihkan nama daripada tuduhan palsu melibatkan tuntutan insurans kematian serta pengubahan wang haram.
Katanya, kejadian berlaku hujung Mei lalu ketika dia menerima panggilan daripada seorang wanita bernama Asmawati yang mendakwa kononnya dia terlibat dalam aktiviti jenayah.
“Talian itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi wanita bernama Suraya Othman yang memperkenal diri sebagai peguam. Dia mendakwa saya terlibat dalam dua kes jenayah, iaitu membuat tuntutan palsu insurans kematian akibat kanser dan pengubahan wang haram membabitkan pencen ilat,” katanya semalam.
Rohannah yang menghidap kanser usus dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pesakit kanser oleh sindiket terbabit sebagai taktik memperdayakannya.
“Saya terlalu takut, mereka kata kes dibawa ke mahkamah jika saya tidak beri kerjasama. Demi keselamatan diri dan anak-anak, saya ikut saja arahan mereka,” katanya sambil memaklumkan telah membayar wang itu kepada scammer.
































