KOTA TINGGI: Kira-kira 30 peratus calon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) gagal melaporkan diri bagi menyertainya bagi siri latihan satu dan dua.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara sebab yang dikemukakan oleh calon terlibat termasuk masalah kesihatan serta komitmen melanjutkan pelajaran.
“PLKN akan masuk siri ketiga. Ini semua adalah percubaan dan tahun depan yang sebenarnya. Bagi kedua-dua siri satu dan dua, lebih kurang dalam 30 peratus gagal hadir tetapi alasan yang mereka beri ada yang sakit, ada yang diterima masuk universiti.
“Dua siri latihan yang sudah kita buat itu mendapat sambutan yang baik dan pesertanya mahukan supaya ditingkatkan lagi pengisian dalam soal latihan ketenteraan,” katanya selepas merasmikan Program Kembara Lestari@Kota Tinggi Bersama Yayasan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), di Dewan Terbuka Felda Lok Heng Barat, di sini semalam.
Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi dalam ucapannya memberitahu projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (HPUSIM) Mukim Sedili bakal menjadi pemangkin perubahan bagi kawasan Parlimen Kota Tinggi.
“Projek itu sedang dirangka, dirancang diteliti. Tentunya kos-kos sedang dipertimbangkan dan saya percaya selepas itu pemilihan kontraktor. Jadi, dua tiga tahun lagi kita akan lihat proses awalan rancangan dan sebagainya, ia bukan hari ni lulus (peruntukan) esok serta-merta akan terbina, tidak.
“Kita kena faham itu, kita beri sokongan supaya projek fasa satu libatkan kira-kira RM900 juta akan ubah keadaan Kota Tinggi terutama Sedili dan limpahannya akan masuk ke semua kawasan ia benar-benar dapat diteruskna kerana ia merupakan game changer bagi kawasan Parlimen Kota Tinggi, insya-Allah,” katanya.
































