Hajiji (tiga dari kanan) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik menyaksikan pertukaran dokumen antara Petronas LNG yang diwakili Naib Presiden Pemasaran & Perdagangan LNG – Gas & Maritim PETRONAS, Shamsairi Mohd. Ibrahim dan SMJ Energy, Datuk Dr. Dionysia Kibat sempena majlis menandatangani Perjanjian Dasar Induk di Malaysian Petroleum Club (MPC), Kuala Lumpur, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah melalui SMJ Energy Sdn Bhd akan memperoleh 25 peratus ekuiti dalam kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai (ZLNG) bernilai USD3.1 bilion di Sipitang susulan pemeteraian Perjanjian Dasar Induk (Heads of Agreement, HOA) bersama PETRONAS di Malaysian Petroleum Club (MPC) di Kuala Lumpur, hari ini.
“Perkongsian ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memastikan matlamat pembangunan jangka panjang Sabah, merangsang pertumbuhan industri dan keselamatan tenaga serta mencipta peluang baharu untuk memacu kemajuan negeri.
“Menerusi pelaburan strategik seperti ZLNG, kita akan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri sambil memastikan manfaat daripada sumber asli Sabah terus menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan rakyat,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor selepas menyaksikan majlis menandatangani HOA berkenaan.
Kemudahan ZLNG yang berkapasiti dua juta tan setahun (MTPA) ini merupakan tambahan penting kepada landskap LNG negara.
Dibina berhampiran pantai di Sipitang, projek ZLNG kini dalam pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2027.
Projek ini melengkapkan jejak LNG Sabah yang semakin berkembang, selain dua lagi kemudahan LNG terapung iaitu PFLNG1 (1.2 MTPA) dan PFLNG2 (1.5 MTPA) yang kini beroperasi di perairan Sabah.
Kerajaan Negeri turut mengumumkan hasrat untuk memperoleh 40 peratus kepentingan penyertaan dalam PFLNG1 melalui SMJ Energy, dengan proses due diligence dijangka bermula pada separuh kedua tahun 2025.
Sejak menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (Commercial Collaboration Agreement, CCA) bersama PETRONAS pada Disember 2021, trajektori pertumbuhan SMJ Energy berkembang pesat.
Syarikat itu kini memiliki 50 peratus ekuiti dalam aset pengeluaran minyak PSC Samarang, 10 peratus ekuiti dalam LNG9, 25 peratus ekuiti dalam kompleks petrokimia SAMUR dan pemilikan penuh ke atas Sabah International Petroleum (SIP) yang mengendalikan aset FPSO dan FSO.
SMJ Energy juga memegang hak pegangan bebas dan opsyen “back-in” dalam blok eksplorasi SB409 (20%), SB403 (20%), SB306A (15%) dan SB306B (15%).
“Kami adalah pelabur kewangan yang berhemah dengan pendekatan disiplin dalam membina portfolio. Penyertaan kami dalam ZLNG adalah sebahagian daripada rancangan strategik untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan lagi kedudukan dalam sektor huluan, LNG dan petrokimia.
“Peluang ini selari dengan mandat kami untuk menjana aliran tunai stabil jangka panjang daripada aset berkualiti tinggi yang menjana pulangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr. Dionysia Kibat.
Hasrat Sabah dalam sektor hiliran juga berkembang pesat. Sabah Energy Corporation (SEC), selaku pengagregat dan pengedar gas negeri, memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan gas domestik yang stabil untuk industri Sabah.
Salah satu projek penting SEC termasuk pembekalan gas kepada loji keluli hijau E-Steel bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), pelaburan utama yang menyokong langkah Sabah ke arah pemelbagaian industri.
Turut hadir, Menteri Kewangan yang juga Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong; dan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.


































