NEW YORK: Sebongkah batu dari Marikh seberat 25 kilogram, yang merupakan ketulan terbesar pernah ditemui di bumi, dijual pada harga AS$5.3 juta (RM25 juta) dalam satu acara lelongan barangan geologi dan arkeologi di New York, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, batu yang dinamakan NWA 16788 itu ditemui oleh seorang pemburu meteorit di padang pasir Sahara, Niger pada November 2023.
Rumah lelongan Sotheby’s menyatakan, batu itu dipercayai tercampak keluar dari permukaan Marikh akibat hentaman asteroid sebelum mengembara sejauh 225 juta kilometer ke bumi.
Sebelum lelongan, Sotheby’s menganggarkan harga jualan batu itu sekitar AS$2 juta (RM8 juta) hingga AS$4 juta (RM16 juta) namun, bidaan terakhir mencecah AS$4.3 juta (RM18 juta), dan setelah ditambah yuran serta kos lain, harga rasmi yang dicatatkan ialah AS$5.3 juta (RM25 juta) .
Menurut Sotheby’s, batu ini 70 peratus lebih besar berbanding batu Marikh terbesar yang pernah ditemui sebelum ini dan ianya menyumbang hampir 7 peratus daripada semua material Marikh yang kini berada di bumi.
Saiznya dianggarkan 375mm panjang, 279mm lebar dan 152mm tinggi serta amat jarang ditemui kerana daripada lebih 77,000 meteorit yang diiktiraf secara rasmi di bumi, hanya 400 daripadanya berasal dari Marikh.
“Sebelum ini kami menyangka kami sudah melihat batu Marikh terbesar, tetapi NWA 16788 ternyata dua kali ganda lebih besar daripada rekod lama,” kata Cassandra Hatton, Naib Pengerusi Sains dan Sejarah Semula Jadi Sotheby’s.
Menurut Hatton, ujian makmal mengesahkan batu itu berasal dari Marikh dengan membandingkan komposisi kimianya dengan meteorit yang dikaji semasa misi kapal angkasa Viking pada 1976.
Batu itu dikenalpasti sebagai jenis olivine-microgabbroic shergottite, iaitu batuan Marikh yang terbentuk daripada proses penyejukan lava secara perlahan dan ia mengandungi mineral pyroxene dan olivine serta mempunyai permukaan kaca akibat suhu panas ketika memasuki atmosfera bumi.
Sebelum ini, batu tersebut pernah dipamerkan di Agensi Angkasa Lepas Itali di Rom.
Acara ini merupakan sebahagian daripada program khas Sotheby’s Geek Week 2025 yang menghimpunkan sebanyak 122 objek lelongan, termasuk meteor, fosil dan batu permata berkualiti tinggi.


































