WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengumumkan Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan tarif sebanyak 19 peratus ke atas barangan Indonesia di bawah perjanjian baharu dengan negara Asia Tenggara itu.
Menurut Utusan Malaysia, Trump turut memaklumkan lebih banyak perjanjian sedang dirancang ketika beliau terus mendesak terma lebih baik dengan rakan dagangan dan berusaha mengurangkan defisit perdagangan AS.
“Indonesia akan membayar tarif sebanyak 19 peratus kepada AS ke atas semua barangan yang mereka eksport kepada kami, manakala eksport AS ke Indonesia akan bebas daripada tarif dan halangan bukan tarif.
“Jika terdapat sebarang penghantaran semula dari negara yang dikenakan tarif lebih tinggi, maka tarif itu akan ditambah kepada tarif yang sedang dibayar oleh Indonesia,” kata Trump dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Indonesia atas komitmen mereka dalam usaha mengimbangi defisit perdagangan.
“Kami akan terus menyampaikan hasil untuk rakyat Amerika dan rakyat Indonesia,” kata Trump.
Perjanjian dengan Indonesia, yang merupakan rakan dagang yang agak kecil bagi AS, adalah antara beberapa perjanjian yang dimeterai setakat ini oleh pentadbiran Trump menjelang tarikh akhir 1 Ogos, apabila tarif ke atas kebanyakan import dijangka meningkat.
Perjanjian itu dimeterai ketika Kesatuan Eropah (EU), rakan dagang terbesar AS, bersiap sedia untuk mengenakan tindak balas sekiranya rundingan dengan Washington gagal.
Menjelang tarikh akhir itu, rundingan sedang berlangsung dengan negara lain berusaha mengelak daripada dikenakan lebih banyak tarif melebihi kadar asas 10 peratus ke atas kebanyakan barangan yang berkuat kuasa sejak April.
Berdasarkan pengumuman tarif Trump setakat Ahad lalu, Yale Budget Lab menganggarkan kadar tarif purata efektif AS akan meningkat kepada 20.6 peratus, berbanding antara dua hingga tiga peratus sebelum Trump kepada ke Rumah Putih pada Januari.
































