PETALING JAYA: Tidak berpuas hati dipercayai menjadi punca seorang wanita dikelar bekas kekasihnya dalam kejadian di sebuah universiti swasta di Subang Jaya petang semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan bekas teman wanitanya itu.
“Suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana mendakwa bekas teman wanitanya itu menipu mengatakan suspek menghalang mangsa keluar dari rumah.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca lain berkaitan kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.
“Jumlah saksi bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian ini masih dalam tindakan pegawai penyiasat kes ini.
“Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di unit rawatan rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang penuntut sebuah universiti swasta di sini cedera parah selepas dikelar pada bahagian leher dalam kejadian di pusat pengajian tinggi berkenaan.
Mangsa yang juga merupakan penuntut warga asing berusia 20 tahun dikelar dengan pisau dipercayai oleh bekas teman lelakinya.
Siasatan berkaitan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

































