Terowong pasir yang digali Riccardo Boni sebelum dia terjatuh dan tertimbus sehingga mati.
CASTRO: Seorang bapa menceritakan detik anak remajanya maut selepas tertimbus hidup-hidup dalam terowong pasir yang runtuh, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian tragik itu berlaku ketika mereka bercuti di pantai Montalto di Castro, sebuah kawasan pantai popular di barat laut Itali.
Mangsa, Riccardo Boni, 17, bermain di tepi pantai bersama adik-adiknya ketika dia menggali terowong pasir yang cukup besar untuk dia merangkak dari satu sisi ke sisi lain.
Namun, sebaik sahaja dia memasuki bahagian tengah terowong, struktur pasir itu runtuh dan ‘menelan’ remaja itu sepenuhnya.
Bapanya, yang berada hanya beberapa meter dari tempat kejadian, masih trauma apabila mengimbas kembali detik cemas itu.
Dia berkata, anaknya langsung tidak sempat menjerit atau meminta tolong sebelum hilang ditelan pasir.
“Riccardo setinggi 1.75 meter, lubang itu sedalam 1.50 meter. Kepalanya terkeluar tapi entah kenapa, mungkin kerana keletihan atau panas, dia rebah,” katanya.
Sebaik menyedari kemungkinan yang berlaku, si bapa bersama pengunjung pantai dan dua pengawal keselamatan segera menggali pasir dengan tangan untuk menyelamatkan remaja itu.
Pasukan kecemasan tiba, tetapi Riccardo meninggal dunia akibat sesak nafas.
Seorang perenang yang menyaksikan kejadian berkata, mangsa menggali terowong dengan niat untuk masuk dari satu hujung dan keluar di hujung yang lain.
“Apabila dia sampai di tengah, semuanya runtuh. Lubang itu terus tertutup dan tidak tinggal sebarang tanda” katanya.
































