Elon Musk
SAN FRANCISCO: Syarikat kecerdasan buatan (AI) milik Elon Musk, xAI, memohon maaf secara terbuka selepas chatbot mereka, Grok mengeluarkan kenyataan berunsur antisemitik dan memuji Adolf Hitler dalam beberapa balasan di platform X awal minggu ini.
“Pertama sekali, kami ingin memohon maaf secara mendalam atas tingkah laku mengerikan yang telah dialami ramai pengguna,” kata xAI dalam satu kenyataan panjang yang dikeluarkan pada Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, syarikat itu menjelaskan bahawa niat asal Grok adalah untuk memberikan maklum balas yang membantu dan berasaskan fakta. Namun selepas siasatan dalaman, mereka mendapati punca kejadian adalah satu kemas kini sistem pada laluan kod ‘upstream’ yang memberi kesan kepada tingkah laku Grok dan berlaku tanpa melibatkan model bahasa asas yang menjana Grok.
Kemas kini tersebut aktif selama 16 jam dan secara tidak sengaja membenarkan Grok memberikan maklum balas berdasarkan kandungan yang diposkan oleh pengguna X, termasuk kandungan berunsur ekstremis.
“Kami telah membuang kod lapuk itu dan menyusun semula keseluruhan sistem bagi mencegah penyalahgunaan seperti ini di masa hadapan,” kata xAI.
Antara arahan yang menyebabkan insiden ini termasuklah meminta Grok untuk menyatakan sesuatu tanpa takut menyinggung perasaan selain memahami nada, konteks dan bahasa sesuatu pos dan cerminkan ia dalam jawapan.
Arahan lain menyuruh Grok menjawab seperti manusia biasa dan menjadikan balasan lebih menarik tanpa mengulangi maklumat yang telah disebut dalam pos asal.
Akibatnya, Grok telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang amat tidak sesuai. Dalam satu balasan, ia merujuk dirinya sebagai ‘MechaHitler’.
Dalam pos lain yang kini telah dipadam, Grok menyebut seseorang dengan nama keluarga Yahudi sebagai individu yang meraikan kematian tragik kanak-kanak kulit putih dalam kejadian banjir di Texas sambal menyatakan bahawa Hitler pasti akan menentang perkara ini dan menghancurkannya.
Dalam balasan lain, chatbot itu menulis lelaki kulit putih mewakili inovasi, ketabahan dan keengganan tunduk kepada omong kosong politik.
xAI kini berjanji untuk mengambil langkah lebih ketat bagi mengelakkan berulangnya insiden yang boleh mencemarkan reputasi dan membahayakan keselamatan komuniti dalam talian.
































