SEOUL: Sebuah restoran di Korea Selatan berdepan tuduhan melanggar Akta Sanitasi Makanan selepas didapati menggunakan semut sebagai bahan bagi menambah ‘rasa unik’ dalam hidangan, walaupun serangan itu tidak diklasifikasikan sebagai boleh dimakan menurut undang-undang Korea.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat-Ubatan Korea berkata, pihaknya menyerahkan kes restoran terbabit dan pemiliknya kepada pihak pendakwaan kerana menggunakan semut kering yang diimport dalam masakan.
Siasatan mendapati pemilik restoran itu membawa masuk dua jenis semut dari Amerika Syarikat (AS) dan Thailand melalui perkhidmatan mel ekspres dari April 2021 hingga November 2024.
Restoran berkenaan dipercayai menambah tiga hingga lima ekor semut dalam setiap pinggan bagi hidangan tertentu sehingga Januari tahun ini, dengan anggaran sebanyak 12,000 hidangan dijual.
Walaupun penggunaan semut dalam masakan dianggap luar kebiasaan, Akta Sanitasi Makanan tidak membenarkan penggunaan bahan yang tidak diiktiraf sebagai ramuan makanan yang sah di sisi undang-undang.
Setakat 2025, undang-undang Korea hanya membenarkan 10 jenis serangga digunakan sebagai ramuan makanan, termasuk belalang, ulat sutera dan pupa ulat sutera yang biasanya dijual sebagai snek jalanan dikenali beondaegi.
Tanpa mengira kesan atau tahap keselamatan, penggunaan semut dalam restoran tetap perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat-Ubatan, selaras Akta Sanitasi Makanan dan peraturan berkaitan.


































