WASHINGTON: Enam anggota Perkhidmatan Rahsia digantung tugas susulan siasatan berhubung kegagalan keselamatan ketika cubaan membunuh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang berlaku tahun lalu di Pennsylvania.
Kejadian yang berlaku pada 13 Julai tahun lalu itu menyaksikan Trump, yang ketika itu merupakan calon presiden Republikan, ditembak ketika berucap di pentas dalam satu perhimpunan di Butler.
Penyerang dikenali sebagai Thomas Matthew Crooks, 20, melepaskan tembakan ke arah Trump, dengan satu peluru nyaris mengenai beliau manakala satu lagi mengena telinganya hingga menyebabkan pendarahan.
Suspek akhirnya ditembak mati oleh anggota keselamatan, manakala Trump segera dibawa ke tempat selamat sebelum muncul semula di pentas, berdiri dengan penuh semangat di hadapan bendera Amerika Syarikat dalam satu aksi yang tular di seluruh dunia.
Namun selepas keadaan reda, Perkhidmatan Rahsia menjadi sasaran kecaman hebat berikutan pelbagai kegagalan yang didedahkan, termasuk kelemahan komunikasi, kekeliruan arahan operasi dan ketiadaan penyelaras keselamatan utama di lokasi.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Rahsia ketika itu, Kimberly Cheatle, terpaksa meletak jawatan selepas menerima tekanan daripada pelbagai pihak dan terbaharu, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Rahsia, Matt Quinn, mengesahkan enam lagi anggota telah digantung tugas atas kegagalan operasi pada hari kejadian.
“Perkhidmatan Rahsia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku di Butler. Ia merupakan satu kegagalan operasi, dan kami komited untuk memastikan ia tidak berulang,” tegas beliau.
Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan, Quinn mengumumkan Perkhidmatan Rahsia akan memperkenalkan armada baharu dron berteknologi ketenteraan serta pusat kawalan bergerak yang membolehkan komunikasi langsung antara ejen persekutuan dan pihak berkuasa tempatan.
Kekurangan komunikasi sedemikian dikenal pasti sebagai antara punca utama kelewatan dan kekeliruan dalam respons ketika insiden itu berlaku.
Antara persoalan utama yang terus menghantui Perkhidmatan Rahsia ialah mengapa tingkah laku mencurigakan Crooks tidak ditangani lebih awal, sebelum Trump menaiki pentas dan walaupun motif sebenar suspek masih tidak diketahui, siasatan mendedahkan remaja tersebut merupakan pengundi berdaftar Republikan, namun pernah menderma sebanyak AS$15 (RM 64) kepada satu kumpulan kutipan dana Demokratik pada tahun 2021.
Insiden ini bukan sahaja menggemparkan dunia, malah mendedahkan betapa seriusnya keperluan untuk memperkukuh keselamatan dalam acara politik berskala besar, khususnya yang melibatkan tokoh nasional.
Perkhidmatan Rahsia kini berada di bawah tekanan hebat untuk memastikan insiden seumpama ini tidak berulang dalam suasana politik Amerika yang kian mencabar.
































