WASHINGTON: Seorang individu yang menggunakan suara tiruan berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk menyamar sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio, menghubungi tiga menteri luar negara asing serta dua pegawai AS bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Reuters yang melihat dokumen tersebut menyatakan pada pertengahan Jun melaporkan, individu berkenaan menghubungi menteri serta seorang gabenor dan seorang ahli Kongres AS melalui aplikasi pesanan Signal, termasuk meninggalkan pesanan suara kepada sekurang-kurangnya dua orang sasaran.
Dalam satu kes, mesej teks turut dihantar sebagai jemputan untuk terus berkomunikasi melalui Signal.
“Kemungkinan besar pelaku bertujuan memanipulasi individu sasaran dengan menggunakan mesej suara dan teks yang dijana oleh AI untuk mendapatkan akses kepada maklumat atau akaun,” menurut dokumen itu.
Cubaan penipuan ini dilaporkan pertama kali oleh The Washington Post.
Insiden ini berlaku beberapa minggu selepas krisis dalaman melibatkan bekas penasihat keselamatan negara Presiden Donald Trump, Mike Waltz, yang secara tidak sengaja menambah seorang wartawan ke dalam kumpulan sembang Signal yang kemudian menyaksikan maklumat berkaitan serangan ketenteraan di Yemen tersebar dalam perbualan itu.
“Tiada ancaman siber secara langsung terhadap jabatan akibat kempen ini, namun maklumat yang dikongsi dengan pihak ketiga boleh terdedah jika individu yang disasarkan berjaya dikompromi,” jelas dokumen bertarikh 3 Julai yang dihantar ke semua kedutaan dan konsulat AS.
Dokumen itu juga menggesa kakitangan memberi amaran kepada rakan-rakan luar mengenai kewujudan akaun palsu dan cubaan penyamaran.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai identiti menteri luar dan ahli politik AS yang terlibat tidak didedahkan.
Seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS yang enggan dikenali mengesahkan jabatan itu menyedari kejadian ini dan siasatan giat dijalankan.


































