WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif baharu yang lebih tinggi terhadap 14 negara termasuk Malaysia Jepun dan Korea Selatan dalam usahanya merundingkan perjanjian perdagangan baharu.
Namun beliau melanjutkan tarikh kuat kuasa tarif tersebut sehingga bulan Ogos.
Menurut Utusan Malaysia, Trump turut mengeluarkan surat rasmi kepada Malaysia dan negara-negara seperti Indonesia, Bangladesh, Thailand dan Afrika Selatan, menyatakan beliau akan mengenakan duti import antara 25 peratus hingga 40 peratus ke atas produk dari negara-negara tersebut.
Langkah ini menandakan peningkatan berbanding kadar tarif 10 peratus yang sebelum ini dikenakan terhadap hampir semua rakan dagang Washington.
Namun, tarikh kuat kuasa yang ditetapkan iaitu 1 Ogos memberi penangguhan kepada pelaksanaan semula tarif yang lebih tinggi itu, yang pada asalnya dijadualkan bermula esok.
Dalam surat kepada pemimpin Jepun dan Korea Selatan yang hampir sama dari segi kandungannya, Trump menyatakan kenaikan tarif AS kepada 25 peratus dilakukan kerana hubungan perdagangan negara-negara tersebut dengan Washington masih jauh daripada bersifat timbal balik.
Beliau turut memberi amaran tindakan balas terhadap tarif itu boleh membawa kepada ketegangan selanjutnya.
Namun, Trump berkata, beliau sedia untuk menurunkan kadar tarif baharu itu jika negara-negara terbabit mengubah dasar perdagangan mereka.
“Kami akan, mungkin, mempertimbangkan pelarasan terhadap surat ini,” katanya.
Menurut surat-surat yang dimuat naik ke platform Truth Social milik Trump, produk dari Indonesia akan dikenakan tarif sebanyak 32 peratus, manakala Bangladesh dan Serbia dikenakan 35 peratus dan Thailand serta Kemboja sebanyak 36 peratus.
Dalam surat tersebut, Trump turut merancang tarif 40 peratus ke atas barangan dari Myanmar dan Laos.
Kebanyakan negara yang menerima surat setakat ini dikenakan kadar duti yang serupa atau tidak berubah berbanding ancaman tarif yang dikeluarkan pada April lalu, walaupun terdapat beberapa pengecualian seperti Laos dan Kemboja yang menerima kadar tarif yang lebih rendah secara ketara.
Walaupun pentadbiran Trump sebelum ini memberi isyarat mereka berharap dapat memeterai puluhan perjanjian menjelang bulan Julai, pencapaiannya setakat ini masih terhad.
Washington setakat ini hanya mengumumkan perjanjian dengan Britain dan Vietnam.
AS dan China bersetuju menurunkan sementara kadar tarif antara satu sama lain yang sebelum ini mencecah tiga angka peratusan.


































