Armizan bergambar bersama pemimpin dan ahli GRS dan Gagasan Rakyat.
TENOM: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd. Ali menegaskan bahawa parti lokal mesti menjadi teras kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan negeri kekal sebagai agenda utama dalam struktur pentadbiran negara.
Berucap ketika merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Melalap di sini petang tadi, beliau menjelaskan pentingnya pendekatan hubungan antara kerajaan (inter-governmental) berbanding intra parti (intra-party) dalam mengekalkan keseimbangan kuasa dan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
“Hubungan antara teras Kerajaan Persekutuan yang diketuai Pakatan Harapan (PH) dan teras Kerajaan Negeri Sabah oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan satu model inter-governmental yang lebih efektif. Teras kepada pusat adalah parti nasional, manakala teras kepada negeri adalah parti lokal,” katanya.
Sebagai contoh jelas keberkesanan pendekatan ini, Armizan merujuk kepada penggubalan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 (CCUS 2025) yang diluluskan di Parlimen pada Mac lalu.
“Pada peringkat awal, RUU CCUS dirancang untuk diguna pakai di seluruh Malaysia. Namun selepas Kerajaan Persekutuan mendengar pandangan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang masing-masing diterajui oleh GRS dan GPS, Kabinet bersetuju untuk menghadkan pemakaian akta itu kepada Semenanjung Malaysia dan Labuan sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata, keputusan ini hanya dapat dicapai kerana adanya pendekatan antara kerajaan yang menekankan rundingan rasmi antara kedua-dua peringkat, bukannya ditentukan secara dalaman parti politik yang sama.
“Sokongan Perdana Menteri yang komited kepada pengiktirafan kedudukan khas Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut menjadi faktor penting,” katanya.
Armizan turut menegaskan bahawa walaupun Kerajaan Negeri Sabah turut disertai oleh wakil daripada PH, teras kerajaan tetap perlu dikekalkan kepada parti lokal untuk memastikan agenda negeri tidak dikompromi.
“Kita tidak menolak parti nasional. Namun, yang penting ialah kepentingan Sabah tidak dibincangkan secara eksklusif dalam mesyuarat dalaman parti semata-mata, sebaliknya mesti dirundingkan dalam struktur rasmi antara kerajaan,” katanya.
Armizan turut menyentuh tentang perbezaan ketara antara penggubalan Akta CCUS 2025 dan Akta Laut Wilayah 2012 (TSA 2012) yang dilihatnya sebagai pengajaran penting dalam sejarah perundangan negara berkaitan hak negeri.
“Akta TSA 2012 mengehadkan kuasa negeri kepada hanya 3 batu nautika dari pesisir, dan hingga hari ini Kerajaan Negeri Sabah pimpinan GRS tetap menegaskan bahawa akta ini tidak terpakai di Sabah kerana tidak diluluskan oleh DUN Sabah,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan sikap sesetengah pemimpin yang kini lantang mempertikai TSA 2012 sedangkan mereka sendiri merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan ketika akta itu diluluskan.
“Ramai yang hari ini menggunakan isu TSA sebagai modal politik, tetapi mereka adalah Ahli Parlimen atau Menteri Persekutuan pada tahun 2012. Kenapa ketika itu tidak bersuara? Kenapa tidak menentang sewaktu RUU TSA dibentang dan diluluskan?” soal beliau.
Menurut Armizan, perbezaan pendekatan antara tahun 2012 dan 2025 jelas menunjukkan kepentingan memastikan teras kerajaan negeri dan persekutuan datang daripada latar belakang berbeza.
“Pada 2012, kedua-dua kerajaan didominasi oleh parti nasional yang sama. Maka, Ahli Parlimen dari Sabah terikat dengan keputusan parti nasional. Ini sangat berbeza dengan hari ini, di mana Sabah dipimpin oleh parti lokal yang lebih bebas untuk membawa suara negeri secara tegas,” katanya.
Beliau menyimpulkan bahawa kestabilan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan bergantung kepada kebijaksanaan dalam mengekalkan keseimbangan kuasa melalui struktur politik yang saling menghormati kedudukan masing-masing.
“Justeru, amat penting untuk kita memastikan bahawa parti lokal terus menjadi teras dalam Kerajaan Negeri Sabah,” tegas Armizan.