Isnin (dua dari kiri) bersama jemputan menyempurnakan gimik perasmian.
BEAUFORT: Program Justice on Wheels (JoW) memberi akses kepada keadilan bagi setiap lapisan rakyat, kata Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih.
Menurutnya, program klinik guaman bergerak tersebut bertujuan membuka ruang yang lebih luas kepada rakyat bagi mendapatkan bantuan guaman dan menyelesaikan masalah perundangan yang dihadapi.
“Program JoW merupakan komitmen kerajaan Madani dalam memberikan akses kepada keadilan bagi setiap lapisan masyarakat tidak kira di mana mereka berada.
“Ini bermakna program ini memberi manfaat kepada rakyat yang tinggal jauh di pedalaman mendapatkan perkhidmatan bantuan guaman.
“Semasa program dilaksanakan, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat dari pegawai-pegawai Jabatan Bantuan Guaman (JBG) yang bertugas.
“Jika sebelum ini, mereka yang mendapatkan khidmat dikenakan caj sebanyak RM10, kini mereka boleh mendapatkannya secara percuma,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah JoW di Dataran Bagandang dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Ketua Pengarah Bantuan Guaman JBG Datuk Norazmi Mohd Narawi, Timbalan Ketua Pengarah Unit Syariah JBG Nassir Abdul Aziz dan Pengarah JBG Negeri Sabah Herlina Muse.
Dalam pada itu, Isnin turut berharap program berkenaan dapat menyebar luas perkhidmatan kepada masyarakat yang tinggal jauh dari pejabat sedia ada.
Program JoW Sabah merupakan nadi utama program yang berfungsi seperti van JoW Sarawak dan Semenanjung Malaysia dan telah bermula sejak tahun 2024 melibatkan Daerah Pitas, Tongod, Papar, Sipitang dan Paitan.
Selain Beaufort, program terbabit dijadualkan berlangsung di empat daerah lain iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Keningau.
































