Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkannya dengan skandal rasuah membabitkan pemberian lesen perlombongan mineral di Sabah.
Dakwaan tersebut yang dilaporkan oleh portal Malaysiakini, disifatkan oleh Dr. Joachim sebagai satu tuduhan yang tidak bertanggungjawab dan bermotif jahat.
“Saya menafikan sepenuhnya dakwaan yang mengaitkan saya dalam skandal rasuah berhubung lesen perlombongan mineral Sabah seperti yang dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
“Saya melihat laporan tersebut sebagai amat tidak bertanggungjawab dan bermotif jahat untuk mencemarkan nama baik saya.”
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dan Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, beliau tidak akan terpesong daripada tugasnya walaupun terdapat usaha untuk menjejaskan reputasinya.
“Saya tidak akan terganggu dengan cubaan menjatuhkan saya dan akan terus komited menjalankan tanggungjawab saya sebagai anggota Kabinet Negeri Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang sebaik mungkin,” tegasnya.
Beliau turut menyeru semua ahli dan penyokong PBS supaya kekal bertenang, bersatu dan fokus dalam meneruskan perjuangan parti untuk rakyat.
“Sebagai Pemangku Presiden, saya menyeru semua ahli dan penyokong PBS supaya kekal tenang, bersatu dan fokus. Teruskan bekerja keras untuk rakyat. Masih banyak yang perlu dilakukan. Kita perlu terus mendengar, mencari ruang penambahbaikan dan berusaha membawa pembangunan kepada negeri tercinta kita,” katanya.
Dr. Joachim turut memberi jaminan bahawa beliau akan menghadapi situasi ini dengan penuh ketenangan dan hati nurani yang bersih, sambil menghargai sokongan berterusan daripada rakyat.
“Yakinlah, saya akan hadapi keadaan ini dengan hati yang tenang dan nurani yang bersih. Saya menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan daripada rakyat,” katanya.


































