Paetongtarn Shinawatra
BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand menggantung tugas Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra pada hari Selasa (1 Julai), selepas bersetuju untuk mendengar petisyen terhadap beliau.
Menurut Utusan Malaysia, mahkamah menerima kes daripada sekumpulan senator Thailand yang memohon agar beliau disingkirkan kerana melanggar etika menteri semasa pertikaian diplomatik dengan Kemboja.
Paetongtarn akan digantung tugas sehingga keputusan Mahkamah Perlembagaan diumumkan, lapor media Thailand pada hari Selasa.
Paetongtarn dituduh oleh para senator tidak jujur dan melanggar piawaian etika yang bertentangan dengan perlembagaan, berikutan perbualan telefon yang bocor dengan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen.
Ketika ditemui media di Rumah Kerajaan Bangkok, Paetongtarn menyatakan beliau menerima keputusan tersebut.
“Niat saya sentiasa untuk melakukan yang terbaik untuk negara saya.
,“Saya mohon maaf kepada rakyat Thailand yang berasa kecewa dengan perkara ini,” katanya.
Siasatan tersebut dijangka mengambil masa beberapa minggu atau bulan.
Menurut laporan media tempatan, Timbalan Perdana Menteri Suriya Jungrungreangkit daripada parti Pheu Thai yang sama akan mengambil alih tugas-tugas beliau buat sementara waktu.
Seorang ahli politik pembangkang utama turut menggesa agar pilihan raya baharu diadakan.


































