Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Platform media sosial Telegram dijangka hadir ke Kuala Lumpur minggu ini bagi membincangkan pelbagai isu keselamatan siber termasuk perjudian atas talian, penipuan (scam), penyebaran bahan lucah serta pelanggaran hak cipta yang dikesan berleluasa dalam aplikasi itu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perbincangan yang akan diadakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bertujuan mencari penyelesaian terhadap isu penyalahgunaan platform oleh penjenayah siber yang semakin membimbangkan.
Katanya, selain kandungan lucah dan perjudian, penjualan bahan pornografi serta tayangan filem dan episod rancangan televisyen tanpa kebenaran turut menjadi antara isu utama yang dibangkitkan.
“Pihak Telegram sebelum ini memaklumkan, walaupun mereka mempunyai hampir satu bilion pengguna di seluruh dunia, jumlah pekerja mereka hanya sekitar 50 orang sahaja. Jadi, banyak perkara mereka kendalikan secara automatik atau menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI).
“Tetapi undang-undang di setiap negara adalah berbeza. Sebagai contoh, perjudian atas talian dilarang di Malaysia tetapi mungkin dibenarkan di Vietnam atau negara lain. Jadi di sinilah pentingnya perbincangan lanjut untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di IWK Eco Park @ Pantai Dalam kelmarin.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, berdasarkan statistik, kandungan perjudian dalam talian merupakan kategori tertinggi yang diturunkan oleh pelbagai platform digital iaitu sebanyak 51 peratus.
Katanya, Facebook dikenal pasti sebagai platform yang paling banyak memaparkan iklan berkaitan judi dalam talian diikuti oleh kandungan penipuan yang turut banyak tersebar di Facebook dan TikTok.
“Jadi, saya tidak anggap Telegram sahaja bersalah. Semua platform mempunyai cabaran dan risiko disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan yang berbeza-beza.
“MCMC mengambil tindakan menyeluruh yang pada saya agak tegas. Tetapi kita perlu faham, sebarang kandungan atau akaun hanya boleh disekat oleh platform itu sendiri. Jika mereka tidak bersetuju, malangnya tiada tindakan boleh diambil. Namun, jika sesuatu kandungan itu diturunkan, bermakna mereka akur dan mengiktiraf ia melanggar undang-undang,” katanya.




























