Liew (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Regatta Lepa Semporna 2025 kepada Datuk Dr Sa’adilah Hj Abdillah. Di sebelah kanannya ialah Pegawai Daerah Semporna merangkap Pengerusi Penganjur, Alexander Liew.
SEMPORNA: Regatta Lepa Semporna, festival tradisional ikonik masyarakat Bajau yang juga merupakan antara tarikan pelancongan tahunan utama negeri ini, kini disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Sabah tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Apa yang lebih istimewa, tahun ini menandakan sambutan kali ke-30 penganjuran Regatta Lepa Semporna, membuktikan komitmen tinggi komuniti Semporna dalam memelihara warisan budaya mereka.
“Dengan penyenaraian festival ini dalam kalendar pelancongan, diharapkan acara ini akan mencapai tahap yang lebih tinggi dan mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang merasai keunikan dan kemeriahannya,” katanya semasa majlis penutupan Regatta Lepa Semporna di Padang Bandaran di sini malam ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
“Melalui Regatta Lepa, kita dapat mengetengahkan keindahan budaya Bajau dan usaha masyarakatnya dalam memelihara warisan maritim kepada pelancong dari seluruh dunia,” katanya.
Ketua Menteri turut memaklumkan bahawa Regatta Lepa tahun ini menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti perarakan tradisional Lepa, penaikan bendera Sambulayang, pemilihan Ratu Lepa serta penganugerahan Tokoh Regatta Lepa.
Beliau turut merakamkan tahniah atas kejayaan penganjuran acara Igalthon yang menampilkan persembahan tanpa henti selama sejam tarian tradisional Bajau, Igal-Igal, melibatkan penari daripada pelbagai kumpulan budaya dan komuniti.
Acara itu telah direkodkan dalam Malaysia Book of Records sebagai persembahan tarian Igal-Igal terpanjang pada 21 Jun.
“Menyanjung tinggi khazanah budaya dan warisan etnik negeri merupakan antara elemen penting yang menjadikan ia produk pelancongan yang menarik. Ini kerana Sabah adalah negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya.
“Rakyat Sabah terdiri daripada 35 kumpulan etnik yang masing-masing mempunyai budaya, bahasa dan perayaan yang unik. Namun begitu, mereka hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Inilah yang menjadikan Sabah antara destinasi pelancongan yang paling digemari, sama ada oleh pelancong tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.




























