TOKYO: Jepun kelmarin melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang digelar ‘pembunuh Twitter’ kerana membunuh sembilan individu yang ditemuinya secara dalam talian.
Menurut Utusan Malaysia, Takahiro Shiraishi, 34, dihukum gantung atas kesalahan membunuh mangsanya — kebanyakannya wanita — selepas berhubung dengan mereka melalui platform media sosial yang kini dikenali sebagai X.
Mangsa terdiri daripada pengguna media sosial yang memuat naik hantaran berkaitan hasrat untuk membunuh diri, dan Shiraishi menawarkan bantuan melaksanakan rancangan itu atau mati bersama mereka.
Shiraishi dijatuhi hukuman mati pada 2020 atas pembunuhan sembilan mangsanya yang berusia antara 15 hingga 26 tahun.
Menteri Kehakiman, Keisuke Suzuki berkata, jenayah Shiraishi yang dilakukan pada 2017 termasuk rompakan, rogol, pembunuhan serta pelupusan dan pencemaran mayat.
“Sembilan mangsa dipukul, dicekik hingga mati, kemudian dirompak dan dikerat. Sebahagian anggota badan mereka disorok dalam kotak, manakala selebihnya dibuang di tapak pelupusan,” katanya dalam sidang media di Tokyo, kelmarin.
Suzuki menjelaskan, Shiraishi bertindak semata-mata demi memuaskan nafsu dan keinginan kewangannya sendiri, dan pembunuhan tersebut menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.
“Selepas pertimbangan teliti, saya mengarahkan hukuman mati itu dilaksanakan,” katanya.
Jepun dan Amerika Syarikat (AS) merupakan satu-satunya negara dalam Kumpulan Tujuh (G7) yang masih mengamalkan hukuman mati, dan amalan ini mendapat sokongan besar dalam kalangan rakyat Jepun.
Di Jepun, hukuman mati sentiasa dilaksanakan melalui kaedah gantung, dengan kira-kira 100 banduan kini menunggu giliran untuk hukuman mereka dijalankan.


































