MOSCOW: Kemungkinan penutupan Selat Hormuz oleh Iran tidak akan mengecualikan Amerika Syarikat (AS) daripada terkesan, malah tiada negara akan terselamat daripada gangguan pasaran minyak global, kata Ketua Eksekutif Dana Pelaburan Terus Russia (RDIF), Kirill Dmitriev, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa Iran sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa mereka berhak menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Israel.
Pada Ahad, Parlimen Iran turut bersetuju bahawa Selat Hormuz wajar ditutup, menurut anggota Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Esmail Kowsari.
“Harga minyak ditentukan secara global.
“Jika Selat Hormuz ditutup, Amerika Syarikat juga tidak akan terlepas. Tiada siapa kebal daripada kejutan minyak dunia – harga di pam minyak akan melonjak,” kata Dmitriev menerusi platform X.
Selat Hormuz yang terletak di pintu masuk Teluk Parsi, merupakan satu daripada titik laluan paling kritikal dalam perdagangan global, dengan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia melalui selat itu.
Menurut pelbagai anggaran, kira-kira 20 peratus minyak dunia, iaitu sekitar 17 hingga 18 juta tong sehari melalui Selat Hormuz, menjadikannya penting kepada tenaga global.
Selat yang sempit itu juga menjadi laluan utama bagi penghantaran gas asli cecair (LNG), terutamanya dari Qatar, yang merupakan antara pengeksport LNG terbesar dunia.
Selat Hormuz adalah satu-satunya laluan laut yang menghubungkan Teluk Parsi ke lautan terbuka dan merupakan kawasan bagi pengeluar minyak utama seperti Iran, Arab Saudi, Iraq, Kuwait, dan Emiriah Arab Bersatu.
Bagi China, pengimport minyak terbesar dunia dan pembeli utama minyak mentah dari Iran, Selat Hormuz amat penting kepada mereka.
China mengimport sebanyak 5.4 juta tong minyak mentah setiap hari melalui selat tersebut dalam tiga bulan pertama tahun 2025, menurut anggaran Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).
Jumlah itu bersamaan dengan separuh daripada purata harian import minyak mentah China dalam suku pertama tahun ini, menurut pengiraan CNN berdasarkan data kastam China.


































