BANGKOK: Seorang wanita Thailand mendakwa terkena renjatan elektrik daripada mesin tiket parkir kereta di sebuah pusat beli-belah terkenal di kawasan Bang Na, Bangkok dan berkongsi pengalamannya dalam Facebook.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian tersebut berlaku pada 10 Jun lalu apabila mangsa cuba mengambil tiket parkir dengan mengimbas tangannya di hadapan sensor mesin tanpa menyentuh sebarang bahagian sebelum dia tiba-tiba terkena renjatan elektrik.
“Saya terkena renjatan elektrik daripada mesin tiket di pintu masuk pusat beli-belah. Selepas itu saya terpaksa keluar masuk hospital beberapa kali. Kemudian saya dapati saya bukan mangsa pertama, kawan saya pernah nampak asap keluar dari mesin itu sebelum ini,” tulisnya dalam Facebook.
Menurut mangsa, kejadian berlaku sekitar pukul 10 pagi dan selepas terkena renjatan, dia mengalami kebas di lengan yang merebak ke kepala dan kaki.
Mesin tersebut tetap mengeluarkan tiket seperti biasa, namun palang penghadang tidak dibuka. Bimbang untuk menekan butang kecemasan, dia membunyikan hon berkali-kali untuk menarik perhatian kakitangan pusat beli-belah.
Seorang pekerja akhirnya membuka palang secara manual tetapi didakwa mengabaikan aduan mangsa berkenaan kejadian renjatan elektrik tersebut. Wanita itu kemudiannya terpaksa memandu masuk ke kawasan parkir dan mendapatkan bantuan sendiri di kaunter khidmat pelanggan.
Mangsa turut mendakwa bahawa dia pengsan semasa bekerja keesokan harinya dan mengalami sakit kepala yang teruk. Sehingga itu katanya, pihak pusat beli-belah belum menghubunginya bagi memohon maaf atau menawarkan sebarang bentuk pampasan.
Pusat beli-belah yang dimaksudkan kemudian dikenal pasti sebagai Central Bangna, yang mengeluarkan kenyataan permohonan maaf rasmi di laman Facebook pada 16 Jun. Dalam kenyataan itu, pihak pengurusan memaklumkan siasatan dijalankan.
Pada 17 Jun, pihak pusat beli-belah mengesahkan pasukan kejuruteraan mereka tidak menemui sebarang litar pintas atau kerosakan operasi pada mesin tersebut dan percaya insiden itu berpunca daripada elektrik statik.


































