Beberapa kren digunakan untuk mengangkat bangkai pesawat Air India yang terhempas di Ahmedabad, Gujarat.
AHMEDABAD: Seorang pakar penerbangan mendedahkan teori nahas pesawat Air India penerbangan 171 yang meragut 270 nyawa mungkin berpunca daripada kesilapan kecil tetapi membawa padah oleh pembantu juruterbang.
Menurut Utusan Malaysia, Kapten Steve, seorang juruterbang komersial dan penganalisis nahas pesawat yang turut aktif di YouTube percaya pembantu juruterbang secara tidak sengaja menarik tuas sayap (flap) dan bukannya menarik masuk gear pendaratan sejurus berlepas.
Menurutnya, tindakan itu boleh menyebabkan gangguan kepada aliran aerodinamik pesawat menyumbang kepada kehilangan ketinggian secara mendadak.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner yang dalam perjalanan ke London itu menjunam sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel, Ahmedabad dan meletup di kawasan perumahan mengakibatkan kebakaran besar serta kemusnahan harta benda.
Setakat ini, punca sebenar nahas belum disahkan dan siasatan masih dijalankan. Pihak berkuasa memberi fokus terhadap dua kemungkinan utama iaitu kegagalan mekanikal atau kesilapan manusia.
Kapten pesawat, Sumeet Sabharwal antara yang terkorban dalam tragedi itu. Beliau memiliki lebih 8,200 jam pengalaman penerbangan.
Pembantu juruterbang, Clive Kunder dari Mumbai yang juga maut dalam insiden itu memiliki rekod 1,100 jam penerbangan dan menjalani latihan di Paris Air Flight School yang berpusat di Florida, Amerika Syarikat (AS).
Pasukan penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) AS dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), bersama wakil Boeing dan GE Aerospace telah dihantar ke India untuk membantu siasatan menyeluruh.


































