OXFORDSHIRE: Dua lelaki dari Oxford dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah merompak tandas emas 18 karat bernilai £4.8 juta (RM25.9 juta) dari sebuah pameran seni di Blenheim Palace pada September 2019.
Menurut Utusan Malaysia, tandas karya seni Maurizio Cattelan itu dicuri hanya beberapa jam selepas majlis pelancaran diadakan di rumah agam bersejarah tersebut.
James ‘Jimmy’ Sheen, 40, mengaku bersalah atas tuduhan pecah masuk, pemindahan harta jenayah dan bersubahat melakukan jenayah yang sama pada 2024.
Manakala, Michael Jones, 39, pula didapati bersalah atas tuduhan pecah masuk pada Mac lalu.
Mahkamah Tinggi Oxford pada Jumaat menjatuhkan hukuman empat tahun penjara terhadap Sheen, manakala Jones dihukum penjara dua tahun tiga bulan.
Hakim Ian Pringle KC menyifatkan rompakan itu sebagai ‘berani dan memalukan’ yang hanya mengambil masa lima setengah minit untuk dilaksanakan.
Sheen dianggap sebagai pelaku utama dalam kes itu, malah dia satu-satunya tertuduh yang disabitkan atas kesalahan mencuri serta menjual hasil rompakan.
Pihak polis menemukan DNA Sheen di lokasi kejadian selain serpihan emas dalam pakaiannya serta telefon bimbit yang mengandungi pelbagai mesej membuktikan penglibatannya.
Menurut pendakwa raya kanan kes itu, Shan Saunders, telefon Sheen mengandungi sejumlah besar maklumat bukti yang jarang berlaku dalam kes seumpamanya.
Dalam tempoh dua minggu selepas kejadian, Sheen dilaporkan telah menjual 20 kilogram emas iaitu kira-kira satu perlima daripada berat tandas tersebut kepada pembeli tidak dikenali di Birmingham dengan harga £520,000 (RM2.9 juta).
Identiti pembeli emas itu masih belum dikenal pasti dan tandas emas berkenaan masih belum ditemui sehingga kini.


































