FORT BRAGG: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Los Angeles diceroboh ‘musuh asing’ dan berikrar akan ‘membebaskan’ bandar itu susulan menghadapi protes sejak beberapa hari lalu yang tercetus akibat serbuan imigresen.
Menurut Utusan Malaysia, dalam ucapan berhaluan keras di sebuah pangkalan tentera terbesar AS, Trump menyifatkan penunjuk perasaan sebagai ‘binatang’ dan menggesa tentera ‘mencemuh’ nama Gabenor California Gavin Newsom serta bekas Presiden, Joe Biden.
Trump tmengerahkan ribuan tentera termasuk 700 anggota Marin aktif ke Los Angeles, walaupun pihak berkuasa California menyifatkan tindakan itu tidak perlu dan hanya memburukkan keadaan.
Malah Newsom menyifatkan tindakan Trump sebagai ‘diktatorial’.
“Anarki ini tidak boleh dibiarkan. Kami tidak akan membenarkan ejen persekutuan (pegawai yang menjalankan tugas di bawah arahan kerajaan pusat) diserang dan kami tidak akan membenarkan sebuah bandar Amerika ditawan dan diceroboh oleh musuh asing,” kata Trump kepada pasukan tentera di Fort Bragg, North Carolina.
Trump menggambarkan penunjuk perasaan sebagai ‘binatang’ yang ‘bangga mengibarkan bendera negara lain’.
“Apa yang anda saksikan di California ialah serangan menyeluruh terhadap keamanan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara, yang dilakukan oleh perusuh yang membawa bendera asing dengan tujuan meneruskan pencerobohan asing ke atas negara kita,” katanya.
Trump turut mengaitkan protes itu sebagai ‘migrasi tidak terkawal’ dan turut menyelar Eropah agar bertindak segera.
“Seluruh dunia kini dapat melihat migrasi tidak terkawal yang membawa kepada keadaan huru-hara, kegagalan fungsi dan kekacauan.
“Dan anda tahu apa? Ia berlaku juga di Eropah. Banyak negara menghadapinya. Mereka lebih baik berikutan bertindak sebelum terlambat,” katanya.


































