WASHINGTON: Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat (AS) Robert F. Kennedy Jr. mengumumkan pemecatan kesemua ahli panel penasihat vaksin persekutuan utama selepas mendakwa mereka terlibat dalam konflik kepentingan.
Menurut Utusan Malaysia, pemecatan kesemua 17 ahli pakar daripada Jawatankuasa Penasihat Amalan Imunisasi (ACIP) didedahkan menerusi artikel di Wall Street Journal dan kenyataan rasmi Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan (HHS).
Kennedy Jr. yang selama lebih dua dekad dikenali sebagai penyebar maklumat salah berkaitan vaksin mendakwa langkah itu penting untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai sambil menuduh panel itu terjejas akibat hubungan kewangan dengan syarikat farmaseutikal.
“Hari ini, kami mengutamakan pemulihan kepercayaan awam melebihi sebarang agenda pro atau anti-vaksin.
“Orang ramai mesti yakin bahawa sains yang tidak berat sebelah dinilai secara telus dan bebas daripada konflik kepentingan menjadi asas kepada setiap cadangan agensi kesihatan kita,” katanya.
Dalam tulisannya, Kennedy Jr. mendakwa panel itu sudah lama dibelenggu konflik kepentingan dan kini menjadi sekadar pengesah automatik bagi mana-mana vaksin.
Beliau memaklumkan ahli baharu sedang dipertimbangkan untuk menggantikan mereka yang dipecat di mana kesemua mereka adalah lantikan di bawah pentadbiran bekas Presiden, Joe Biden.
Ketua Demokrat Senat, Chuck Schumer mengecam tindakan Kennedy Jr. dan pentadbiran Trump yang sedang memusnahkan program yang memastikan rakyat AS selamat dan sihat.
Senator Republikan merangkap doktor perubatan, Bill Cassidy turut menyuarakan kebimbangan ACIP akan ditadbir oleh individu yang tidak mengetahui apa-apa tentang vaksin.
“Saya baru berbincang dengan Kennedy Jr. dan saya akan terus berhubung untuk pastikan perkara itu tidak berlaku,” katanya.


































