Guava Shuishui mengakui makan alat solek mempunyai kesan berbahaya, namun demi kandungan, wanita muda itu sanggup mengambil risiko.
TAIPEI: Pempengaruh terkenal Taiwan, Guava Shuishui mengetahui amalannya memakan alat solek boleh memberikan kesan bahaya kepada kesihatan sebelum wanita itu meninggal dunia secara tiba-tiba, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, menerusi satu daripada kapsyen video di Instagramnya, Guava mengakui perbuatannya memakan alat solek sememangnya ‘kontroversi’ menyaksikan dalam video berkenaan, dia menyapu pemerah pipi jenis jeli ke pipinya, sebelum memakannya.
Menurut kenyataan dalam akaun rasminya, Guava dikatakan meninggal dunia akibat ‘penyakit’ yang tidak didedahkan pada usia 24 tahun.
Guava, yang dikenali dengan gelaran ‘Guava Beauty’, mencetuskan kontroversi kerana gemar merakam video dirinya mencuba produk solekan termasuk memakan gincu, pemerah pipi, masker muka dan kapas sebagai sebahagian daripada kandungan yang dihasilkannya.
Mukbang atau makan merupakan satu trend popular dari Korea Selatan, menyaksikan individu menikmati sebarang makanan dalam kuantiti besar sambil berinteraksi dengan pengikut mereka secara langsung.
Menurut kenyataan yang dikongsi dalam laman sosialnya, pemergian Guava pada 24 Mei lalu disifatkan berlaku secara mendadak.
“Terima kasih kepada semua yang pernah menyukai, meninggalkan mesej dan ketawa bersamanya. Terima kasih atas kasih sayang dan sokongan anda. Guava benar-benar menghargainya dari lubuk hati.”
“Guava Shuishui kini terus bersinar di tempat yang berbeza. Bila kita bertemu lagi nanti, mungkin dia sedang membuka kotak solekan eksklusif para malaikat,” ujar kenyataan tersebut.
Dalam satu hantaran berasingan, ibu bapa Guava memaklumkan mereka tidak akan memadam akaun media sosial anak mereka sebagai satu bentuk penghargaan terhadap kenangan yang dicipta bersama para pengikutnya.
Akaun itu, kata mereka, merupakan ‘ruang yang penuh dengan tawa dan hubungan yang tulen’.


































