PALM BEACH: Seorang lelaki dari Texas ditahan selepas menceroboh kediaman peribadi Donald Trump di Resort Mar-a-Lago, Florida, dengan alasan mahu mengahwini cucu Presiden Amerika Syarikat (AS) itu, Kai Madison Trump, 18.
Menurut Utusan Malaysia, Newsweek melaporkan, lelaki tersebut, Anthony Thomas Reyes, 23, mengaku memanjat pagar keselamatan Mar-a-Lago pada pagi Selasa, sebelum ditahan oleh ejen Perkhidmatan Rahsia (AS yang mengawal kawasan itu.
Resort Mar-a-Lago, yang terletak di tepi pantai Palm Beach, merupakan kediaman elit milik Trump dan turut menjadi lokasi tumpuan ramai ketika beliau masih memegang jawatan Presiden.
Reyes turut memberitahu pihak berkuasa dia datang bukan sahaja untuk bertemu Kai, tetapi juga untuk ‘menyebarkan injil’ namun, pihak polis menegaskan tindakan Reyes jelas merupakan satu pencerobohan, apatah lagi ini bukan kali pertama dia cuba memasuki kawasan larangan tersebut.
“Mar-a-Lago ketika itu tidak menerima sebarang lawatan atau kehadiran tetamu. Terdapat papan tanda ‘Dilarang Masuk’ di sekitar kawasan dan ia dilindungi ketat oleh ejen Secret Service,” menurut kenyataan Polis Palm Beach.
Pihak berkuasa turut mendedahkan Reyes pernah melakukan percubaan menceroboh pada Disember tahun lalu.
Dalam kejadian terbaharu ini, walaupun dia masuk ke dalam kompleks, dia gagal melepasi kawasan pemeriksaan dan tidak sempat berinteraksi dengan sesiapa di dalam bangunan tersebut.
Mahkamah menetapkan wang jaminan terhadap Reyes sebanyak AS$50,000 (RM814,000) serta dilarang sama sekali untuk mendekati atau menghubungi Trump, Kai, atau mana-mana ahli keluarga Trump, termasuk semua hartanah yang dimiliki presiden itu.
Kai Madison Trump, cucu kepada bekas Presiden AS itu, dikenali sebagai seorang atlet golf yang aktif dan dijadualkan melanjutkan pelajaran dalam bidang sukan tersebut di University of Miami.


































