Hajiji (empat dari kanan) bersama Jahid, Joniston, Jasnih dan Madius melakukan gimik penyerahan lembu korban bagi menyempurnakan Program Ibadah Korban Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran sempena sambutan Aidiladha.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, jentera pilihan raya GRS sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Katanya, beberapa siri kursus di setiap kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah diadakan bagi menghadapi pilihan raya.
“Apa yang jelas, GRS sudah bersedia. Kita sudah menubuhkan jentera pilihan raya dan kita telahpun mengadakan beberapa siri kursus untuk menghadapi pilihan raya.
“Bagaimanapun, soal pembahagian jumlah kerusi belum dibincangkan,” katanya selepas menyempurnakan Program Ibadah Qurban Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Tuaran 2025 di sini hari ini.
Sempena majlis itu, Hajiji bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid
Jahim yang juga ADUN Tamparuli, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai yang juga ADUN Kiulu, ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau secara simbolik menyerahkan lembu korban kepada Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin.
Mengenai sambutan Aidiladha, Hajiji berharap Hari Raya Aidiladha ini akan membawa banyak kesedaran kepada rakyat khususnya umat Islam untuk bekerjasama dan sanggup berkorban untuk kepentingan bersama.
“Ini kerana dalam perayaan Hari Raya Aidiladha ini, pengorbanan bukan melibatkan ternakan sahaja tetapi juga dalam setiap kehidupan kita sebagai manusia ini kita kena bertolak ansur, bekerjasama dan sanggup berkorban untuk kebaikan kita bersama,” katanya.
“Ini bermakna kita perlu mementingkan perpaduan dan juga masa depan rakyat yang berbilang kaum di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, Hajiji menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Haji Noor Kampung Serusop bersama kira-kira 1,000 jemaah.


































