WASHINGTON: Asap daripada kebakaran hutan di Kanada merebak ke beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS), termasuk di pantai timur, menyebabkan beberapa negeri mengeluarkan amaran kualiti udara.
Menurut Utusan Malaysia, kualiti udara yang buruk di seluruh AS itu berlaku akibat puluhan kebakaran hutan yang sedang melanda Kanada, ketika musim kebakaran tahunan negara itu semakin parah.
Kebakaran tersebut, yang dicetuskan oleh manusia dan punca semula jadi, menyebabkan sekurang-kurangnya 25,000 penduduk di tiga wilayah Kanada terpaksa dipindahkan.
Semalam, peta ramalan daripada Agensi Perlindungan Alam Sekitar menerusi AirNow menunjukkan sebahagian besar kualiti udara sederhana hingga tidak sihat meliputi bahagian timur, tengah barat dan selatan AS, yang dipenuhi asap serta habuk.
Pada hari sama, jabatan pemuliharaan alam sekitar New York mengeluarkan amaran kualiti udara untuk beberapa daerah, termasuk sebahagian kawasan New York City.
Pegawai New York menyarankan orang ramai mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah bagi mengurangkan risiko pada kesihatan, khususnya kanak-kanak dan individu mempunyai masalah pernafasan.
Di New Jersey, pihak berkuasa negeri itu turut mengeluarkan amaran kualiti udara peringkat jingga untuk beberapa kawasan pada Rabu.
Sementara itu, pihak berkuasa New Hampshire menasihatkan orang ramai yang mengalami simptom sesak nafas, batuk dan tidak selesa di dada, untuk mengehadkan aktiviti di luar rumah.


































