WASHINGTON: Ketika Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia menghantar semula angkasawan ke bulan, satu fail lama milik Agensi Perisikan Pusat (CIA) kembali mencetuskan persoalan besar apabila mendakwa pernah ‘menemui’ kehidupan asing di permukaan bulan lebih 25 tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, pendedahan ini merujuk kepada pengalaman luar biasa Ingo Swann, seorang pakar ‘remote viewing’ yang disiasat oleh CIA pada era 1970-an dan 80-an.
Remote viewing ialah kaedah yang digunakan untuk mengakses maklumat mengenai objek, tempat atau individu dari jarak jauh melalui kuasa minda.
Pengalaman Swann kali pertama didedahkan pada 1998 menerusi buku karangannya, Penetration: The Question of Extraterrestrial and Human Telepathy, di mana beliau mendakwa telah ‘melihat’ struktur menakjubkan di bahagian gelap bulan kawasan yang sentiasa membelakangkan Bumi dan tidak dapat dilihat secara langsung.
Lebih mengejutkan, beliau mendakwa melihat menara besar, bangunan pelik dan makhluk seakan manusia sedang melakukan kerja-kerja di sebuah kompleks misteri di permukaan bulan.
Menurut Swann, makhluk asing itu bukan sahaja menyerupai manusia, malah mampu ‘mengesan’ kehadiran mindanya meskipun ketika itu beliau hanya melakukan ‘peninjauan’ secara batin dari jarak 238,000 batu dari Bumi.
“Mereka nampak saya. Dua daripada mereka tunjuk ke arah saya,” tulisnya.
Walaupun dakwaan itu amat sensasi, tiada bukti fizikal yang menyokong kewujudan makhluk asing atau struktur buatan di bulan setakat ini, meskipun pelbagai misi angkasa lepas telah dijalankan oleh negara seperti Amerika Syarikat, Rusia, China, Jepun dan India.
Pendedahan semula fail CIA ini muncul ketika pentadbiran White House memberi keutamaan kepada misi manusia ke angkasa, dengan memotong peruntukan lebih AS$6 bilion (RM28.3 bilion) daripada operasi Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan misi penerokaan robotik termasuk misi pulang sampel dari Marikh.
Sebaliknya, lebih AS$1 bilion (RM4.7 bilion) diperuntukkan kepada program penerokaan manusia ke angkasa, termasuk misi kembali ke bulan sebagai langkah menyaingi China dan mendahului perlumbaan angkasa.
Dalam masa sama, Kongres Amerika terus mengadakan sesi pendengaran awam berhubung kewujudan kehidupan luar Bumi bukan sahaja di angkasa, malah kemungkinan di Bumi dan bulan sendiri.


































