BEIJING: Fenomena terbaharu yang sedang tular dalam kalangan wanita muda di China menyaksikan mereka sanggup membayar antara 20 hingga 50 yuan (RM12 hingga RM29) untuk mendapatkan pelukan selama lima minit daripada individu yang digelar sebagai ‘Man Mum’.
Menurut Utusan Malaysia, trend yang mula mendapat perhatian di media sosial tanah besar China itu menyaksikan permintaan terhadap pelukan sebagai terapi kelegaan emosi, terutama dalam kalangan pelajar dan pekerja yang tertekan.
Istilah Man Mum pada asalnya merujuk kepada lelaki berbadan sasa yang gemar bersenam, namun kini ia membawa maksud lelaki yang bukan sahaja kuat dari segi fizikal, malah memiliki sifat keibuan seperti lemah-lembut, penyabar dan penyayang.
Seorang pelajar wanita yang sedang tertekan dengan tugasan tesis baru-baru ini mencetuskan perhatian ramai apabila berkongsi hasrat untuk membayar seorang Man Mum bagi memeluknya seketika.
“Saya pernah dipeluk sewaktu di sekolah menengah dan ia membuatkan saya rasa selamat. Kita hanya perlu berpelukan selama lima minit di stesen bawah tanah,” tulisnya dalam satu hantaran yang menjadi tular dan menerima lebih 100,000 komen.
Carian berhubung Man Mum” di media sosial turut menunjukkan banyak wanita dari bandar-bandar utama memuat naik permintaan untuk mendapatkan pelukan berbayar sebagai rawatan tekanan emosi.
Pemilihan lelaki untuk pelukan ini dibuat berdasarkan ciri-ciri seperti kesopanan, kesabaran, bentuk badan dan rupa paras malah, ada juga wanita tinggi dan atletik yang menawarkan diri untuk khimat aneh itu.
Kebanyakan sesi pelukan dijalankan di kawasan awam seperti stesen kereta api bawah tanah dan pusat beli-belah, bagi menjamin keselamatan dan menjaga batas pergaulan.
Zhou, seorang lagi lelaki yang aktif memberi pelukan, menyifatkan peranannya sebagai satu bentuk bantuan emosi di mana setakat April lalu, beliau memberi 34 pelukan dan memperoleh 1,758 yuan (RM1,200).
Zhou juga berkata, beliau sentiasa memakai solekan, menyembur minyak wangi dan mengemaskan rambut agar pelanggan mendapat pengalaman terbaik namun tidak berniat menjadikan perkhidmatan itu sebagai sumber pendapatan tetap.
Trend ini bagaimanapun menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet di mana ada yang menyifatkan pelukan keibuan lebih menenangkan berbanding lelaki yang maskulin.
Ada juga yang skeptikal dengan tindakan tersebut serta menyamakan proses itu dengan gangguan seksual.


































