Elon Musk
WASHINGTON: Ketegangan antara Elon Musk dan Donald Trump tercetus apabila individu terkaya di dunia itu lantang mengecam undang-undang ekonomi Presiden Amerika Syarikat (AS) berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, kenyataan Musk dibuat hanya beberapa hari selepas beliau meletak jawatan daripada peranannya di Rumah Putih.
“Rang undang-undang perbelanjaan Kongres yang besar, melampau dan penuh pembaziran ini adalah satu kehinaan dan menjijikkan.
“Malulah kepada mereka yang mengundinya, anda tahu anda sudah membuat kesilapan,” kata Musk di platform X.
Sebelum ini, Musk dipuji oleh pemimpin Republikan itu ketika beliau melepaskan jawatan sebagai penasihat utama dalam Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) minggu lalu, walaupun dikritik kerana gagal menunaikan janji pemotongan perbelanjaan secara radikal.
Ini bukan kali pertama Musk mengulas mengenai rang undang-undang besar yang dijangka menambah AS$3 trilion (RM12.75 trilion) kepada defisit AS dalam tempoh 10 tahun, walaupun terdapat pemotongan besar dalam program kesihatan dan bantuan makanan.
Bagaimanapun, kritikan sebelum ini lebih berhati-hati, apabila pengasas Tesla dan SpaceX itu hanya menyatakan ia menjejaskan usaha penjimatan kosnya.
Kelmarin, beliau berkata, rang undang-undang yang sedang dipertimbangkan oleh Kongres akan membebankan rakyat dengan hutang yang sangat tidak mampan.
Hantarannya menyerlahkan hubungan yang semakin tegang antara Rumah Putih dan Musk, walaupun beliau menyumbangkan hampir AS$300 juta (RM1.27 bilion) kepada kempen pilihan raya Trump pada 2024.
Menurut laporan media AS, Musk dikatakan semakin kecewa apabila matlamatnya untuk mendapatkan tindakan Rumah Putih yang memanfaatkannya secara peribadi tidak tercapai.
Rang undang-undang yang dikritiknya itu turut memotong insentif cukai untuk kenderaan elektrik, sesuatu yang memberi kesan kepada Tesla.
Menurut Axios, usaha Musk untuk melanjutkan peranannya melebihi had undang-undang selama 130 hari juga ditolak.
Beliau turut gagal dalam cubaan untuk menjadikan sistem satelit Starlink sebagai sistem kawalan trafik udara, bahkan dilaporkan berang apabila Trump menarik balik pencalonan sekutunya, Jared Isaacman, sebagai ketua NASA.


































