LIMA: Ahli arkeologi dan aktivis alam sekitar menyuarakan kemarahan mereka terhadap keputusan mengejut Kementerian Kebudayaan Peru yang mengurangkan hampir separuh kawasan taman arkeologi yang melindungi Garisan Nazca iaitu tapak warisan dunia yang ikonik.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu menyaksikan kawasan seluas hampir sebesar bandar raya Lima, ibu negara Peru dikeluarkan daripada zon perlindungan.
Garisan Nazca yang terkenal di seluruh dunia menarik ribuan pelancong setiap tahun untuk menyaksikan imej raksasa burung kolibri, monyet dan ikan paus yang terukir di gurun menjadikannya tarikan pelancongan kedua terbesar di Peru selepas Machu Picchu.
Pada tahun lalu, ahli arkeologi yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) telah menemui ratusan geoglif baharu yang berusia lebih 2,000 tahun, lebih tua daripada garisan yang diketahui sebelum ini.
“Mereka sedang cuba memadam sejarah,” kata Presiden Persatuan Antarabangsa Maria Reiche, sebuah pertubuhan bukan untung yang ditubuhkan untuk melindungi Garisan Nazca, Ana María Cogorno Mendoza.
“Kawasan yang dikeluarkan daripada perlindungan itu adalah tempat berlangsungnya beberapa ritual tertua menurut kajian kami,” katanya.
Pengkritik keputusan tersebut memberi amaran ia akan melemahkan perlindungan alam sekitar selama beberapa dekad dan membuka laluan kepada aktiviti perlombongan haram di Rizab Arkeologi Nazca terutamanya ketika harga emas dunia sedang memuncak.
Kementerian Kebudayaan Peru dalam kenyataannya pada Jumaat lalu berkata keputusan untuk mengurangkan rizab Nazca daripada kira-kira 5,600 kilometer (km) persegi kepada hanya sekitar 3,200 km persegi adalah hasil kajian dan rundingan selama 20 tahun. Mereka juga menegaskan bahawa ia tidak menjejaskan kawasan tapak Warisan Dunia UNESCO mahupun zon penampannya.
Namun, menurut peguam alam sekitar César Ipenza, belum ada kajian menyeluruh yang boleh mengesahkan kawasan itu tidak mempunyai nilai budaya atau arkeologi.
“Kawasan ini milik warisan nenek moyang kita dan memerlukan perlindungan sebenar, bukan keputusan politik bersifat sementara,” tegasnya.
Bekas Menteri Kebudayaan Peru dan ahli arkeologi yang telah lama mengkaji geoglif di kawasan itu Luis Jaime Castillo berkata, kawasan yang sepatutnya dilindungi kini sudah pun dipenuhi aktiviti perlombongan haram dan loji pemprosesan mineral.


































