PETALING JAYA: Seorang pelakon dan penyanyi terkenal ditahan polis semalam selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Menurut Utusan Malaysia, difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 17 tahun itu berkenalan dengan artis tersebut di sebuah kafe tempatnya bekerja.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, mereka kemudian bertemu beberapa kali selepas perkenalan itu.
Katanya, selepas beberapa kali bertemu, suspek membawa mangsa ke sebuah hotel.
“Dalam pertemuan itu, suspek melakukan perbuatan amang seksual fizikal kepada mangsa.
“Susulan itu, suspek ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Tambahnya, kertas siasatan sedang dilengkapkan pihaknya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.


































