LONDON: Britain dijangka mengalami musim panas yang lebih kering daripada kebiasaan tahun ini, dengan peningkatan risiko berlakunya gelombang haba, menurut ramalan baharu yang dikeluarkan oleh Pejabat Meteorologi (Met Office).
Menurut Utusan Malaysia, ramalan tersebut hadir selepas musim bunga paling cerah dalam rekod sejarah negara itu, dengan jumlah cahaya matahari mencecah 630 jam sejak awal Mac lalu, menjadikannya sebagai musim bunga paling kering dalam tempoh lebih satu abad.
Sabtu lalu, suhu melonjak sehingga 8 darjah Celsius melebihi purata bagi tempoh tersebut, menandakan berakhirnya musim bunga dengan suhu lebih tinggi sebelum bermulanya musim panas.
Pejabat Meteorologi dalam satu kenyataan berkata, walaupun ramalan tiga bulan menunjukkan kemungkinan musim panas yang lebih terik dan kering, pola suhu tersebut sejajar dengan trend pemanasan iklim yang semakin ketara.
“Pada masa ini, isyarat global yang mempengaruhi cuaca UK masih lemah. Namun sejajar dengan iklim yang semakin panas, seperti yang kita lihat beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan kemungkinan suhu melebihi purata.
“Ini tidak bermaksud cuaca panas akan berterusan tetapi kita mungkin mengalami lebih banyak hari panas dan malam yang hangat daripada biasa, namun tidak menolak kemungkinan juga berlakunya hari-hari sejuk,” ujar Jurucakap Met Office, Nicola Maxey.
Ramalan itu adalah sebahagian daripada laporan pandangan tiga bulan Pejabat Meteorologi bagi bulan Jun, Julai dan Ogos yang digunakan sebagai penilaian risiko oleh perancang kontingensi kerajaan serta pihak industri bersama analisis corak cuaca meluas di seluruh UK serta mengambil kira trend cuaca global semasa.
Menurut laporan tersebut, kebarangkalian UK mengalami musim panas yang lebih terik adalah 2.3 kali ganda lebih tinggi daripada biasa dan secara puratanya, suhu musim panas di Britain berada antara 10 hingga 17 darjah Celsius.
Kawasan tenggara negara tersebut pula mencatatkan suhu purata lebih tinggi, iaitu antara 16 hingga 17 darjah Celsius.
Trend ini konsisten dengan beberapa musim panas yang luar biasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini di mana kali terakhir Britain mengalami musim panas yang ‘sejuk’ adalah pada tahun 2015.
Fenomena gelombang haba marin melampau yang sedang berlaku di perairan barat laut Eropah dengan suhu permukaan laut sekitar UK kini 1.5 hingga 2.5 darjah Celsius lebih panas daripada purata dijangka menyumbang kepada peningkatan gelombang haba.
Namun, kelembapan tinggi dalam udara berkemungkinan juga mencetuskan ribut petir yang lebih kuat.
Kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba tahun 2022, yang menyaksikan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius di England buat kali pertama, dipercayai didorong oleh perubahan iklim dan dijangka menjadi lebih kerap pada masa akan datang.


































